(Ibnul Munzir)
Ulasan Ibnul Munzir kepada berita Utusan Malaysia Online di bawah:
Para pemimpin UMNO-BN mengecam Majlis Peguam kerana kononnya berpihak kepada pembangkang. Saya senyum dengan perkembangan ini. Kalau seorang peguam yang berpihak, mungkin dia silap, dia terlepas pandang, dia dibeli dan munasabah kita menuduh dengan berbagai tuduhan. Tetapi kalau sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh pakar-pakar debat yang biasa berhujah di mahkamah untuk dinilai hujahnya oleh hakim seperti Majlis Peguam ini, sudah tentu mereka mempunyai hujah mengapa mereka mirip kepada PR. Ertinya apa yang dilakukan oleh PR itu betul.
Kalau saya orang kampung yang biasanya banyak isu yang terlepas dari diketahui, sibuk untuk menyara kehidupan keluarga sendiri, saya akan mencari sandaran untuk menyokong mana-mana pihak. Saya akan dengar nasihat doktor lebih dari nasihat dukun dan pawang dalam hal penyakit. Dalam hal membina rumah atau bangunan saya akan lebih mengambil pandangan kontraktor dari pandangan tukang kayu. Jadi dalam hal-hal sosiopolitik, tentunya saya akan menerima pandangan golongan profesional yang tiada kepentingan politik berbanding hujah orang politik yang banyak kepentingannya.
Tetapi hujah orang-orang profesional seperti ini dipertikaikan oleh ahli-ahli politik UMNO-BN. Jelas, kerana ia tidak sehaluan dengan mereka. Ia membongkar kejahatan dan pembohongan mereka. Pernahkah anda mendengar hujah perdebatan antara Dato' Ambiga dan Dato' Khairy Jamaluddin? Anda perlu mendengarnya. Siapa berhujah dengan berbelit dan tidak jelas dan siapa berhujah dengan fakta. Itulah seorang peguam.
Berbeza dengan SPR. Dua orang pegawai tertingginya telah terbukti menyalahi undang-undang SPR sendiri. Mereka hanya berdua yang mungkin tersilap dan tersalah dan bukti memang menunjukkan mereka bersalah. Mengapa tidak diarahkan saja mereka ditukarkan? Perbetulkan yang jelas silapnya? Tetapi mereka dibela oleh UMNO-BN dengan begitu rupa meskipun jelas kesalahan mereka.
Anda fikir dan anda jawab di hadapan Allah SWT.
Majlis Peguam dikecam hebat
KUALA LUMPUR 11 Jun - Majlis Peguam sekali lagi dikecam hebat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat Bebas ekoran sikap berat sebelah serta tidak profesional badan tersebut yang berpihak kepada pembangkang.
Malah kumpulan wakil rakyat berkenaan sebulat suara mendesak kerajaan supaya menyegerakan penubuhan Akademi Undang-Undang sebagai alternatif kepada Majlis Peguam yang kini dilihat seperti sebuah cabang politik.
Pada masa yang sama, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) secara terbuka melabelkan Majlis Peguam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diserang penyakit kencing manis dan perlu 'dirawat' segera oleh kerajaan.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, beliau bimbang dengan dengan kebebasan Majlis Peguam sehingga badan tersebut begitu ghairah untuk bertindak menghukum sesuatu pihak tanpa siasatan terperinci terlebih dahulu.
"Maka sebab itu cadangan agar Akademi Undang-Undang ditubuhkan perlu disegera kerana saya bimbang dengan kebebasan Majlis Peguam. Mereka amat berat sebelah, kecaman ke atas pihak polis begitu berat berbanding teguran terhadap pembangkang.
"Sedangkan semua tahu pihak yang bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada demonstrasi Bersih 3.0 adalah pembangkang," katanya semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (pindaan) 2012, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
'Panas' dengan kecaman tersebut, beberapa pemimpin pembangkang antaranya Tian Chua (PKR-Batu), M. Manogaran (DAP-Teluk Intan) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) cuba mempertahan Majlis Peguam tetapi mereka akhirnya dikritik hebat.
Nada mereka kemudian berubah apabila Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) bertanya adakah Majlis Peguam sebuah cabang politik pembangkang di Jalan Benteng sehingga bermati-matian mempertahankan badan tersebut.
"Semuanya sudah terang lagi tersuluh. Majlis Peguam ini bukan lagi berfungsi untuk menjaga kebajikan peguam tetapi satu lagi cawangan politik pakatan pembangkang, apa juga alasan yang diberi memang terbukti mereka berat sebelah," katanya.
Sementara itu, Ibrahim mencabar Majlis Peguam menjadi sebuah parti politik dan bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika individu yang menerajui badan tersebut begitu berminat dalam soal politik berbanding kebajikan para peguam.
Sambil mengakui yang beliau sudah lama hilang kepercayaan kepada badan tersebut, Ibrahim berkata, kerajaan tidak perlu melayan pemimpin pembangkang yang bertindak membela Majlis Peguam kerana terbukti mereka tidak menghormati undang-undang.
"Saya seratus peratus menyokong akademi ini dipercepat penubuhannya dan tidak perlu kita layan mereka yang suka melakukan demonstrasi jalanan untuk berdebat mengenai Majlis Peguam, kerajaan kena berani dan tubuh segera akademi ini," katanya.
No comments:
Post a Comment