(Ibnul Munzir)
Ulasan Ibnul Munzir kepada berita di bawah:
Kerajaan UMNO-BN nak beri jaminan generasi muda akan mempunyai masa depan cerah jika mengundi BN? Saya nak ketawa dengan janji pilihanraya ini. Cerah bagaimana yang dijanjikan oleh PM DS Najib? Cerah apabila anak muda dibebani dengan hutang PTPTN? Cerah apabila penganggur berjumlah hampir setengah juta orang? Cerah apabila kadar perzinaan dan buang bayi semakin meningkat. Cerah apabila kadar penagih dadah meningkat? Cukuplah setakat itu daripada senarai yang panjang.
Berapa tahun UMNO-BN memerintah? 55 tahun. Kadar semakin meningkat atau menurun? Meningkat. Petanda baik atau buruk? Buruk. Siapa tanggung? Anak muda.
Setakat yang rakyat perhatikan, yang mempunyai masa depan cerah hanyalah pemimpin UMNO sahaja (dari segi wang dan harta). Ahli UMNO bawahan merempat papa kedana pun ada. Tak percaya pergilah ke kampung-kampung pedalaman. Bendera UMNO terpacak kat halaman rumah yang hampir rumtuh!
Para mahasiswa yang masuk universiti, selain bidang perubatan, perguruan dan guaman, mereka itu sebenarnya mengambil bidang yang tidak tahu apa gunanya. Berpuluh-puluh bidang yang dipaksakan kepada para pemuda yang layak dari sudut akademik, tetapi tak tahu di mana tempatnya untuk bekerja. Akhirnya menjadi penganggur terpelajar yang memikul beban hutang. Siapa yang memburu siswazah bagi menjelaskan hutang? Kerajaan UMNO-BN. Siapa yang kena buru? Para pemuda yang tidak mampu bayar hutang pelajaran.
Pakatan Rakyat berjanji akan menjadikan pendidikan percuma. PTPTN dihapuskan. Siapa yang tentang? UMNO. Anda pernah melihat perdebatan antara Datuk Khairy Jamaluddin (UMNO) dan Rafizi Ramli (PKR)? Anda perlu melihat bagaimana wakil UMNO itu menentang mati-matian pendidikan percuma yang ingin dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.
Jadi, janji apa yang PM DS Najib katakan ini? Janji pilihanraya. Untuk apa? Untuk UMNO-BN terus berkuasa dan terus merompak hak rakyat. Terus mengisi poket-poket mereka dengan wang rakyat dengan cara yang dihalalkan oleh undang-undang tersembunyi mereka. Rakyat terus menderita untuk 5 tahun lagi.
Anda fikirlah sendiri demi masa depan Malaysia, ke manakah undi kita patut diberikan.
Berita Harian Online
Masa depan cerah
Oleh Syuhada Choo Abdullah
13/6/2012KUALA LUMPUR: Generasi muda diberi jaminan akan mengecapi masa depan lebih baik jika terus memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata BN sudah membuktikan mampu menunaikan janji kepada rakyat.
Esok tentunya lebih baik daripada hari ini. Kita sudah membuktikan yang kita mampu menunaikan janji.
Orang muda inginkan peluang untuk kemajuan dan kualiti hidup yang lebih baik. BN boleh memenuhi aspirasi mereka, katanya.
Beliau menjawab soalan Dr Kamal mengenai jaminan beliau kepada generasi muda yang mengundi BN, pada sesi sembang secara langsung melalui laman web New Straits Times (NST), NSTLive, di Balai Berita di sini, semalam.
Najib berkata, BN juga perlu menyuntik kesegaran dengan memilih bakat baru pada PRU-13 dan pada masa sama memastikan kesinambungan dengan mengekalkan beberapa pemimpin sedia ada yang masih popular dalam kalangan rakyat.
Menjawab soalan Mohamad Affian Nordin mengenai keyakinan beliau bahawa BN dan UMNO akan memenangi PRU-13, Najib berkata, ia berdasarkan sambutan rakyat ketika menemui mereka dalam banyak lawatannya ke seluruh negara.
Saya percaya tahap kepercayaan dan keyakinan terhadap kerajaan sudah meningkat kerana kita berjaya membuktikan melalui Dasar Transformasi Nasional, kita dapat memenuhi apa dikehendaki rakyat, katanya.
Mengenai petunjuk tarikh PRU-13 pula, Perdana Menteri berkata, beliau sedang meneliti semua kemungkinan.
Anda ada cadangan, katanya kepada KFTANG yang mengemukakan soalan itu.
Ketika ditanya anak Sarawak mengenai cabaran besar untuk BN meraih sokongan di kawasan bandar, terutama daripada pengundi Cina, beliau berkata, pihak berkenaan perlu memahami bahawa masa depan mereka lebih baik di bawah pentadbiran BN yang dapat memastikan keamanan, kestabilan, keharmonian dan kemakmuran.
Dalam konteks ini, katanya, perbezaan utama ialah tahap keupayaan BN menunaikan janji kepada rakyat adalah jauh lebih besar.
Kita perlu meneruskan engagement dengan pengundi di kawasan bandar, termasuk Cina, katanya.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung projek Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) dan hanya akan berbuat demikian selepas berpuas hati dan rakyat tidak gusar sebarang perkara tidak diingini, termasuk dalam jangka panjang.
Kita perlu melalui proses meyakinkan orang ramai bahawa kilang itu selamat, katanya pada sesi selama sejam bermula tepat pada jam 12 tengah hari itu.
No comments:
Post a Comment