Pengumuman

Kepada para pengunjung yang dihormati... Jika anda ingin melayari blog-blog politik dan blog pilihan Ibnul Munzir, bolehlah klik pada Blog Berita & Politik pada tab di atas.

Friday, November 13, 2009

Najib bakal tak boleh tidur!

(Ibnul Munzir)

UMNO cuba sedaya upaya untuk menghancurkan PR dengan pendedahan demi pendedahan apa saja isu yang boleh membawa persepsi negatif kepada PAS sehingga isu dalam kelambu PAS pun diselongkarnya. Isu bai'ah (agreement) yang menjadi amalan biasa untuk pemimpin (baca ADUN) bagi menjaga kemaslahatan rakyat dan pengundipun dijadikan isu setelah berbagai isu yang lebih besar gagal menjadikan PAS mangsa mereka. Isu ini saya rasa akan memakan diri mereka sendiri dan InsyaAllah PAS akan semakin kuat dan mendapat lebih sokongan ekoran publisiti percuma oleh mereka. Amin. "Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik." (Al-Quran)

Dalam perang, mana boleh sebelah pihak saja yang melepaskan bedilan. PAS yang begitu teruk dibedil sejak beberapa bulan ini tak kan tidak ada peluru untuk membedil kembali musuhnya? Apa kata kita alihkan pula meriam ke arah mereka dan mulakan bedilan. Salah satu isu yang boleh dijadikan peluru ialah isu Alyantuya... Tapi kini isunya lebih hebat lagi... Isu Rosmah. Oleh kerana UMNO-BN ni main jahat, kalau dah rasa akan kalah kat 'medan perang', mereka akan menyerang di luar medan dengan menggunakan Polis untuk menangkap dan menyumbatkan kita ke dalam ISA, jadi biarlah kita gunakan saja peluru yang telah dilepaskan oleh orang lain. Mudah-mudahan dapat menyumbang kepada kemenangan dalam peperangan ini. Bukankah fungsi dinding, anak tangga dan atap itu sama penting bagi sebuah rumah di sisi Allah? Maka dalam parti (jemaah) inipun kita juga penting dan mempunyai peranan yang tersendiri... Nah mari kita pakat-pakat forwardkan isu ini... Klik sini (BM) dan artikel asalnya di sini. Terima kasih Raja Petra Kamaruddin (RPK) atas segala bukti yang diketengahkan.

Thursday, November 12, 2009

Kuasai Politik Persepsi kerana ia boleh menghancurkan PR

(Ibnul Munzir)

Tangani Politik Persepsi

Hari ini seluruh Malaysia sibuk memperkatakan soal politik persepsi. Ia sememangnya mampu menentukan kemenangan pilihanraya. Iaitu kemenangan dalam pilihanraya berdasarkan apa yang orang rasa pada sesuatu parti politik, bukan berdasarkan maklumat atau apa yang sebenarnya ada pada parti politik tersebut. Kalau mereka rasa UMNO itu baik dan menjaga nasib orang Melayu, maka mereka akan undi UMNO. Jika mereka rasa PAS lebih baik dari UMNO, maka mereka akan mengundi PAS. Padahal ia hanya berdasarkan rasa. Rasa ini pula kebanyakannya hanyalah pengaruh daripada media dan mood persekitaran. Ini merupakan satu masalah besar sebenarnya kerana persepsi ini bergantung kepada maklumat yang diterima dan disogokkan. UMNO menguasai media perdana yang menjadi sajian seluruh rakyat Malaysia setiap hari. Ini memberikan mereka kelebihan dalam mewujudkan persepsi di kalangan rakyat untuk memburuk-burukkan dan memfitnah pembangkang (baca PR). Sedangkan PR hanya mempunyai media massa yang sangat terbatas.

Perkara ini menjadi satu cabaran besar kepada PR untuk menangani propaganda (persepsi) negatif yang dimainkan oleh kerajaan UMNO-BN. Hari ini antara masalah besar rakyat Malaysia (terutama Melayu di kampung-kampung) ialah mereka tidak sensitif terhadap berbagai isu yang berlaku akibat malas membaca dan meneliti. Barangkali kerana kekangan hidup menyebabkan mereka tidak berfikir untuk perkara lain selain berfikir bagaimana untuk meneruskan kesinambungan hidup... Cari makan. Mereka tak kisah masalah korupsi, segala macam jenayah kolar putih, penyelewengan dan seribu satu macam penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO-BN terhadap rakyat selama ini dan ketika ini. Apa yang mereka fikirkan ialah bagaimana untuk mendapatkan sesuap rezeki. Masa yang terluang pula, mereka tengok TV dan baca akhbar. Jika perkara ini berterusan, maka sampai bila-bilapun persepsi mereka terhadap usaha untuk menubuhkan kerajaan baru yang lebih adil dan berkebajikan oleh PR untuk Malaysia akan menemui kegagalan. Bagi mereka; "Untuk apa susah-susah? Kita dah boleh sembahyang, puasa, kerjakan haji cukuplah. Api dan air ada. Jalanraya pun ok. Anak-anak nak ke sekolahpun senang. Cukuplah tu. Sama saja undi siapa-siapapun. Kita kat kampung ni macam ni jugak!" Inilah sikap universal orang-orang Melayu di kampung-kampung dan tahap mentaliti mereka. Mampukah PR mendidik mereka untuk keluar dari kandang pemikiran itu? Ini satu cabaran yang besar.

Bagi saya (yang pernah hidup dan membesar di kampung yang berfikiran UMNO pekat, kemudian merantau dan merasai hidup di dalam masyarakat bandar yang berfikiran lebih terbuka dan seterusnya di dalam masyarakat profesional yang berfikiran kritikal), pertama yang perlu diusahakan ialah agar menjauhkan masyarakat dengan alat propaganda UMNO-BN. Caranya ialah dengan melancarkan boikot akhbar dan media. Apabila PR melancarkan kempen boikot, ia akan menyedarkan masyarakat umpama menyedarkan mereka yang sedang tidur lena. Sekurang-kurangnya mereka akan bertanya, "Apa yang berlaku?". Mereka akan mula membuka mata dan mendengar penerangan apabila menerima kejutan seperti ini. Pembangkang (terutamanya PAS) telah banyak melakukan siri-siri boikot dan hasilnya cukup memberangsangkan. Kali ini, boikot perlu dilakukan secara berterusan sehingga PRU-13!

Islam mampu menguasai politik persepsi

Selain boikot yang merupakan usaha pantas dan jangkapendek, usaha menerangkan hakikat perjuangan politik Islam yang ditunjangi oleh iman kepada Allah dan balasan hari akhirat adalah sangat penting. Hari ini rata-rata mereka yang tidak faham dengan hakikat perjuangan politik Islam ini menganggap bahawa perjuangan PAS adalah untuk kuasa semata-mata. Kuasa yang boleh saja disalahguna pada bila-bila masa. Sama seperti UMNO. Bagaimana jika PAS tidak menunaikan janjinya? Siapa yang boleh memastikan PAS bersikap lebih adil daripada UMNO? Bagaimana kalau pemimpin PAS juga bersikap sebagaimana para pemimpin UMNO? Bukankah semua kerja dan penat-lelah menukar kerajaan hanya akan sia-sia?

Inilah titik kekeliruan dalam membezakan perjuangan politik Islam samada ia didokong oleh parti yang bernama PAS, atau Refah (Turki) atau Hamas (Palestin) atau FIS (Algeria) atau Ikhwanul Muslimin (Mesir) atau sesiapa saja. Kekeliruan ini sudah tentu merupakan satu halangan besar kepada PR untuk meraih undi mereka. Kekeliruan ini hanya akan dapat diatasi dengan ilmu dan keyakinan bahawa PAS merupakan parti yang didasari dengan Islam yang sudah tentu akan membawa keadilan. PAS yang dipimpin secara kolektif oleh mereka yang menjiwai Islam pastinya melakukan kerja-kerja hanya untuk Islam dengan mengharapkan janji Allah di akhirat. Rakyat yang membantu untuk kemenangan Islam juga akan mendapat ganjaran sebagimana janji-janji Allah di akhirat nanti. Semua ini bagi masyarakat kampung dan mereka yang berfikiran seperti itu meskipun duduk di bandar mahu melihat dengan bukti-bukti. Ya! Sebagaimana di zaman Rasulullah SAW perlukan mukjizat, mereka juga perlukan bukti akan kebaikan dan perbezaan politik Islam dan PAS. Selain bukti-bukti keadilan Islam memerintah, perlu juga bukti-bukti kezaliman UMNO dan sistem sekular yang memerintah. Perkembangan semasa yang tidak dilapor oleh media massa perlu sampai kepada mereka. Bagaimana caranya untuk menjadikan rakyat lebih cakna, ia perlu diberi tumpuan yang serius.

Sebarkan maklumat dan masyarakatkan PR

Semasa saya hidup dalam masyarakat kampung, UMNO berjaya memasyarakatkan dirinya dengan berbagai-bagai kerja dan sumbangan kebajikan. Contohnya sumbangan generator bagi kawasan yang tidak ada bekalan elektrik, khemah dan kanopi percuma untuk majlis perkahwinan, bantuan menguruskan jenazah secara percuma, menyebarkan maklumat terkini melalui majlis tahlil setiap malam Jumaat, gotong-royong yang dikendalikan oleh Pemuda UMNO terhadap apa saja masalah, seperti membaiki rumah penduduk yang bocor, membaiki jambatan yang rosak, menebas kawasan semak sekeliling kampung dan sebagainya. Apa yang jelas, mereka menonjolkan semuanya sebagai UMNO. Saya yang tidak faham apa-apa ketika itu menganggap bahawa UMNO ini nama kepada JK Kampung! Ertinya, jika tidak sokong UMNO seolah-olah mereka memisahkan diri dengan masyarakat kampung. Sebab itu orang tua-tua di kampung-kampung sanggup mati demi UMNO!

Dalam usaha memberi pendidikan dan maklumat untuk menghasilkan rakyat yang celik maklumat dan cakna politik ini, PR perlu memikirkan untuk menembus masuk ke dalam tradisi kehidupan mereka dan mempelbagaikan cara penyebaran maklumat. Penggunaan alat multimedia seperti CD adalah suatu cara yang baik dan berkesan selain meneruskan tradisi lama seperti pamplet, sesi penerangan dan kuliah. Apa yang penting adalah isinya perlu 'menerang' bukan 'menyerang'. Dari sini PR dapat membuktikan bahawa negeri yang ditadbir di bawah PR adalah jauh lebih baik dari UMNO-BN dan rakyat lebih senang dan selesa dengan pentadbiran 5 negeri di bawah PR. Pemimpin PR tidak pentingkan diri dan kroni malah cakna rakyat. Pemimpin PR dilihat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakyat. Pemimpin PR adalah orang-orang yang berjiwa rakyat dan lebih mengutamakan rakyat. Pemimpin PR adalah mereka yang beriman dan tidak terlibat dengan rasuah. Pemimpin PR mudah didekati dan sentiasa berkhidmat. PR juga membawa pembangunan yang dinikmati oleh seluruh rakyat malah jauh lebih baik dari apa yang dilakukan oleh UMNO-BN. Ini semua perlu diberitahu kepada rakyat. Rakyat mahu tengok semua itu sebagai bukti.

Keimanan yang dijiwai oleh para jentera PAS terhadap kerja-kerja amal sebagai ibadat membolehkan semua kerja-kerja ini dilakukan dengan kos yang minima. Rata-rata ahli PAS sanggup berjihad dengan harta. Rata-rata ahli PAS juga sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi Islam, jadi ia memudahkan lagi usaha untuk visi melahirkan masyarakat yang celik maklumat dan cakna politik ini.

Apabila PR mampu menyebarkan maklumat-maklumat ini ke dalam masyarakat, persepsi mereka terhadap PR akan berubah. Semasa kempen pilihanraya, usaha-usaha yang telah dilakukan ini hanya perlu digandakan sahaja.


Tuesday, November 10, 2009

Blogger Pencacai Masih Mahukan EGM?

(Ibnul Munzir)

Saya kagum dengan permainan politik umpan TGNA. Saya juga kagum dengan gerakan politik TGHH sebagai menyambut umpanan TGNA. Kelihatannya seperti dua orang panglima yang bertarung di tengah gelanggang, tetapi bukan untuk berbunuhan kecuali untuk mengajar para pelatih persilatan tentang teknik dan gerakan silat yang baru!

Sebaik saja selesai seminar khas bagi memperkasakan PAS di Taman Melewar 4 hari lalu saya berfikir mungkinkah semua ini dirancang oleh kedua-dua orang Tok Guru ini bagi menyedarkan segenap lapisan kepimpinan dan pendokong PAS agar mempersiapkan persiapan semaksima mungkin bagi menghadapi ujian yang paling besar? Suatu hari penentuan iaitu PRU-13? Barangkali?

Meskipun nampak luarannya seperti TGNA menyerang beberapa orang dalam barisan kepimpinan TGHH, namun saya terasa pelik kerana TGHH tidak mengeluarkan sepatah perkataan bagi menjawab dan mempertahankan diri. Malah tindakan berikutnya seolah-olah TGHH terus mengikut plot cadangan TGNA tanpa banyak masalah sehingga berlakulah penganjuran Seminar Khas Memperkasakan PAS itu.

Saya teringat semasa saya menjadi 'jaguh' catur pada peringkat sekolah menengah dulu. Bagaimana gerakan bagi menyerang pihak lawan itu saya rancang sedemikian rupa sehingga mereka tak melihat bahawa saya sedang melakukan serangan. Kadang-kadang saya kelihatan seperti mengundurkan 'knight' (kuda) tetapi sebenarnya saya sedang melancarkan serangan dari sisi. Bila saya dalam keadaan yang cukup bersedia, saya melakukan gerakan hulubalang ('bishop') untuk mencabar hulubalang mereka, rupa-rupanya ia sebagai umpan agar laluan serangan terbuka bagi melakukan check-mate!

Inilah dunia politik. Peperangan zaman moden yang menuntut seluruh pemimpin dan tentera sentiasa bersiap siaga. Sentiasa menagih taktik dan teknik serta memperkayakan diri dengan maklumat yang updated. Bukan semasa pilihanraya semata-mata. Malah sebagai pemimpin dan angkatan tentera politik Islam yang sentiasa menjadikan medan politik sebagai medan dakwah, ilmu politik perlu dikuasai dan menjadi suatu 'kewajipan' kepada para du'at juga menguasai ilmu ini sebagai asas sebelum keluar ke tengah masyarakat. Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) yang suatu ketika dahulu menentang idea menyebarkan Islam melalui politik, hari ini beliau berkata jika jalan sudah tertutup, beliau akan menggunakan pentas politik sebagai medan ceramahnya. Ini bermakna politik itu telah menjadi suatu keperluan dakwah yang tidak boleh disangkal lagi.

Dengan berlakunya seminar bagi menggantikan EGM, maka berkokoklah para blogger pemfitnah dan pencacai (BPP) kecewa dan tidak puas hati... Mereka masih mengatakan bahawa EGM tetap perlu bagi merubah dan membersihkan kepimpinan. Seolah-olahnya mereka lebih mengetahui selok-belok kepimpinan dan perjuangan PAS daripada TGHH dan barisan kepimpinannya. Mereka mengatakan bahawa seminar tidak menyelesaikan masalah utama parti. Mereka berhujah bahawa beberapa kerat pemimpin PAS perlu dibuang. Seolah-olahnya EGM yang dicadangkan adalah untuk membuang pemimpin yang mereka tak suka.

Mengikut pemerhatian saya, para BPP ini bukan siapa-siapapun. Barangkali bukan ahli PAS-pun (atau ahli UMNO?). Aset dan kelebihan mereka adalah blog mereka menerima hit yang agak tinggi setiap hari kerana mereka ini pernah dikenali (terkenal?) dalam isu-isu yang lalu. Mereka ini terasa syok kerana banyak komen-komen yang masuk setiap kali mereka membuat posting. Si penulis BPP rasa syok, dan si penjengukpun rasa syok nak meluahkan pendapat mereka. Tetapi sebenarnya mereka ini adalah dari kumpulan yang sama sahaja iaitu yang kononnya bencikan sebahagian kepimpinan PAS tetapi itu adalah modal untuk memecah-belahkan PAS itu sendiri.

Bagi saya, keputusan mengadakan seminar lebih tepat daripada mengadakan EGM berdasarkan masalah yang berlaku dalam PAS mengikut peringkat keutamaannya hari ini. Seminar khas membolehkan PAS menggali sebanyak mungkin maklumat positif dan negatif bagi memperkasakan parti. Ia membuka ruang kepada seluruh peringkat kepimpinan meluahkan pandangan mereka supaya pihak kepimpinan tertinggi dapat mendengar masalah sebenar dan melihat sudut-sudut pandangan mereka secara terus dan telus. Manakala bagi kepimpinan tertinggi yang berkuasa dalam menentukan dasar dan halatuju parti dapat memberikan amanat-amanat penting untuk memperbetulkan kesilapan, menghilangkan kecelaruan pemikiran, menyatukannya (wehdatul fikr)dan menggerakkannya ke arah satu gerakerja (wehdatul amal). Meskipun bunyinya cukup ideal, namun itulah awlawiyatnya.

Bagaimana pula dengan beberapa pemimpin yang dikatakan bermasalah? Apabila pertemuan dapat diadakan, penjelasan dapat dilakukan. Kekeliruanpun dapat diperbetulkan semula. InsyaAllah, semua dakwaan itu hanyalah salah faham atas isu yang diperbesarkan oleh akhbar perdana yang sememangnya itu adalah kerja musuh dan BPP yang menjadi pemalu gendangnya agar suasana menjadi riuh dengan harapan PAS akan berpecah. Kalaulah memang benar adanya pemimpin-pemimpin yang bermasalah sebagaimana yang didakwa, PAS telah mempunyai Lembaga Disiplin yang boleh mengambil tindakan yang sewajarnya. Kalau perlu membuang kepimpinan yang rosak, PAS akan lakukannya tanpa perlukan EGM. Sejarah telah membuktikan bahawa PAS pernah memecat pemimpin kerana isu-isu yang boleh merosakkan parti termasuk bekas Ketua Dewan Ulama PAS Negeri!

Saya percaya dengan langkah dan gerakan politik yang dipimpin oleh dua Tuan Guru ini akan meletakkan PAS kembali dipuncak kepercayaan rakyat Malaysia. Isu ini telah menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia. Ia telah mempopularkan PAS. Keterbukaan TGHH sebagai Presiden yang bersedia dikritik itu sudah tentu jauh meninggalkan pesaingnya dari UMNO yang Presidennya tidak boleh dikritik. Hal ini akan meningkatkan thiqah dan wala' ahli dan pendokong kepada kepimpinan TGHH serta meningkatkan kepercayaan para penyokong dan simpatism PAS. Ia juga telah menutup mulut para pencacai termasuk BPP tadi yang mendakwa pemimpin PAS tidak boleh dikritik. Keterbukaan PAS dan TGHH ini tidak mustahil akan menarik hati kedua-dua panel luar itu untuk turut mengundi PAS dalam pilihanraya akan datang!

Bagi Prof. Dr. Aziz Bari, kritikan beliau yang pedas itu satu kebaikan kepada beliau dan PAS juga. Beliau yang telah dilihat terlalu jauh membela PAS sebelum ini sehingga dicop sebagai ahli PAS dan pandangannya tidak didengari oleh kerajaan UMNO-BN, kini sudah tentu kerajaan UMNO-BN akan mula membuka pintu untuk mendengar semula pandangannya terhadap perundangan. Apabila ini berlaku, PAS akan beruntung dan seluruh rakyat akan beruntung.

Saya percaya UMNO-BN sangat kecewa dengan perkembangan ini. Apa yang mereka harapkan PAS akan berpecah sebenarnya jauh meleset kerana PAS sebenarnya sedang membina kekuatan dan reputasi di depan mereka. Dalam sehari dua ini mereka masih cuba menimbulkan isu-isu kerjasama untuk memancing kemarahan rakyat, tetapi ia sudah menjadi hambar dan basi.

Sunday, November 8, 2009

Selamat Menunaikan Ibadat Haji

(Ibnul Munzir)

Kepada sanak saudara, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam yang telah dijemput oleh Allah Rabbul Jalil untuk menjadi tetamu-Nya... jutaan tahniah kami ucapkan dan selamat menunaikan ibadat haji. Mudah-mudahan kalian mendapat haji yang mabrur. Sesungguhnya keputusan kalian untuk menunaikan haji merupakan suatu keputusan yang terbaik. Biarpun seribu satu halangan yang terpaksa ditempuh, namun kalian telah memilih Allah untuk mengabdikan diri. Mudah-mudahan kalian akan terus ikhlas dalam beribadat yang menjadi kunci agar segala amal ibadat kalian diterima Allah... Firman Allah, "Tunaikanlah haji dan umrah kerana Allah". (Al-Baqarah: 196).

Mengerjakan haji dan umrah itu amat besar ganjaran di sisi Allah. Dari Aishah radhiallahu'anha (r.ha) bahawa beliau pernah bertanya Baginda SAW, " Wahai Rasulullah, kami mendapati bahawa jihad itu adalah amalan yang paling baik. Bolehkah kami keluar berjihad? Jawab Baginda, "Tidak, tetapi jihad yang paling baik ialah haji mabrur. (HR Bukhari).

Dari Abdullah bin Masu'd radhiallahu'anhu (r.a) bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam (SAW) bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (HR Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan. (HR Bukhari).

Dari Ubadah bin Samit, menyatakan mengenai wukuf di Arafah, Allah berkata kepada malaikat, "Wahai malaikat, apakah yang dibawa -hambaku pada hari ini?" Jawab malaikat, "Mereka datang membawa harapan iaitu keredaan-Mu dan mengharapkan syurga-Mu". Allah menjawab, "Wahai malaikat, sesungguhnya aku menjadi saksi bahawa segala dosa mereka diampunkan walaupun sebilangan pasir di pantai".

Adapun ketika melontar jamrah, bagi setiap anak batu yang dilontar akan menghapuskan satu dosa besar. Ketika tawaf dilakukan, malaikat akan datang dengan meletakkan tangannya di bahu orang yang sedang bertawaf dan berkata, "Teruskanlah melakukan amalan kebaikan, sesungguhnya kesalahan kamu yang lalu sudahpun diampunkan. (HR Tabrani).

Berpandukan hadis di atas, Ibnu Hajar di dalam fatwanya menyatakan bahawa segala dosa sama ada kecil atau besar akan diampunkan Allah SWT.

Sabda Rasulullah, "Haji mabrur itu tiada balasan lain, melainkan syurga". Imam Nawawi di dalam syarah Muslim berpendapat bahawa orang yang mengerjakan haji itu bukan saja dosanya diampunkan malah mereka akan mendapat balasan yang lebih daripada itu iaitu syurga.

Saturday, November 7, 2009

Mimpikah anda untuk masuk ke dalam Ka'abah?

(Ibnul Munzir)

Video di dalam Ka'abah. Selamat menonton.


Thursday, November 5, 2009

Konvensyen Blogger PAS akan dapat memantapkan parti.

(Ibnul Munzir)

Alhamdulillah, kepimpinan PAS Pusat amat prihatin dengan kuasa blog sebagai elemen penting dalam usaha mencapai kemenangan pada PRU-13 dan telah mengambil langkah pro-aktif untuk mengadakan Konvensyen Blogger PAS 2009.

Saya sedari dulu telah merasakan bahawa blogger-blogger PAS ini perlu dikumpulkan dan diorganisasikan bagi mengawal kebanjiran para blogger yang entah dari mana datangnya. Apa yang saya sedih ialah sesetengah blogger yang dulunya macam penyokong pakatan rakyat, tetapi kini bila traffic dah banyak kat blog mereka, sekarang pagi petang siang malam mempertikaikan kepimpinan PAS.

Kalau mereka melanyak pemimpin PAS tu, senang nak kenal, tapi mereka ni tak melanyak, tapi mempertikaikan dengan soalan-soalan kenapa begitu dan kenapa begini. Sekiranya para blogger PAS ini disatukan di bawah satu payung, kita mudah menguruskan mereka. Rakyatpun kenal sumber mana yang boleh diterima dan sumber mana yang perlu ditolak. Macam suratkhabar lah jugak...

Cuma bagaimana mekanismenya perlu dibincangkan bersama. Mudah-mudahan ia akan mencapai kejayaan.

Daftarlah segera!

Tuesday, November 3, 2009

Tangkapan Dr. Asri adalah skrip UMNO untuk jatuhkan PR Selangor?

(Ibnul Munzir)

Saya merasakan isu penangkapan Dr. Asri Zainul Abidin ini adalah antara rentetan usaha UMNO-BN (UBN) untuk menjatuhkan kerajaan Selangor. Dia nak guna serampang dua mata sekaligus. Nak jatuhkan kredibiliti kerajaan PR Selangor dan seterusnya nak jemput Dr. Asri join UMNO.

Banyak perkara yang kurang munasabah berlaku. Antaranya ialah ketidaktahuan exco yang menjaga hal ehwal agama, Dato' Dr. Hassan Ali sendiri, Tan Sri Khalidpun menafikan, polis pulak ramai macam skrip yang selalu UMNO buat untuk tangkap pemimpin PR.

Bila tengok Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ust. Harun Taib jemput Dr. Asri masuk PAS, UBN yang dah memang ketandusan ahli agama dan bercita-cita nak jadikan Dr. Asri antara ikon yang akan jadi perisai mereka pasti tak senang duduk. Apa lagi, peralatkan JAIS untuk tangkap Dr. Asri dan dengan pantas Pak Lah, Che Det, para menteri UBN berlumba-lumba untuk mendekati Dr. Asri.

Dengan usaha dan skrip yang kurang cerdik ni, saya rasa walaupun kemenangan akan berpihak kepada kerajaan Selangor dan PR juga, tapi ia akan memberi bekas di hati mereka yang kurang mendapat penjelasan di kampung-kampung yang jumlahnya bukan sedikit.

Dalam hal ini, saya juga merasakan Dato' Hassan Ali juga lewat membuat statement melalui Harakah atau TVPas, atau Malaysian Insider (?) tentang kejadian ini sehingga Tan Sri Khalid Ibrahim mendahului beliau meminta JAIS memberikan penjelasan.

Dr. Asri memang tak bodoh untuk sertai UMNO. Namun dia juga kurang cerdik apabila tidak menyertai PAS. Jadi kedua-dua faktor ini masih akan memungkinkan dia masuk perangkap dengan menyertai UMNO sebagaimana gembar-gembur yang dia salah seorang calon BN dalam PRU-12 dulu barangkali akan menjdai kenyataan pada PRU-13. Wana'uzubillah!