(Ibnul Munzir)
39 hari menyepi tidak mengetuk keyboard dan mengarang menyebabkan otak terasa beku. Malas berfikir dan menganalisa. Rupa-rupanya otak juga perlukan stamina untuk terus segar dan cerdas. Sekadar input dengan cara membaca dan mendengar tidak cukup. Ia perlukan output juga seperti mengarang, menganalisa, bertukar-tukar fikiran, berceramah (ini bukan bidang sayalah...) dan sebagainya.
Hari ini merupakan hari pertama Ramadhan 1430H. Pagi-pagi seperti ini, di bulan Ramadhan yang disambut di Malaysia apalah sangat ujiannya terhadap fizikal kita. Semasa zaman permulaan Islam sahabat-sahabat diuji oleh Allah dengan Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan 2H. Di padang pasir yang kering dan panas, bukan sahaja fizikalnya diuji, tetapi spiritualnya juga diuji. Namun setiap ujian yang diberikan Allah terdapat ganjaran yang disediakan-Nya pula. Sabda Rasulullah SAW “Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari dalam jihad fi sabilillah melainkan pada hari itu Allah menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.” (HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi).
Ramadhan kali ini kita juga sedang diuji. Antara ujian yang perlu dilalui ialah ujian menegakkan Islam dan keadilan melalui pilihanraya Permatang Pasir dan ujian ilmu/kesedaran tentang pentingnya berjemaah sebagai pelengkap untuk ke akhirat. Saya tidak mahu menyentuh tentang pilihanraya Permatang Pasir kerana satu isu yang saya rasa lebih besar lagi ialah isu kedua yang melibatkan ujian kefahaman umat Islam di Malaysia, sebagaimana yang dipopularkan oleh akhbar arus perdana (baca - akhbar UMNO) hasil kenyataan oleh TG Nik Abdul Aziz iaitu Islam yang dibawa oleh UMNO tidak membawa pengikutnya ke syurga.

Isu ini saya rasa amat penting untuk terus dialunkan agar umat Islam Malaysia sedar bahawa jemaah UMNO-lah punca segala penyelewengan, kezaliman, kerosakan akhlak dan ekonomi dan segala jenis masalah yang melanda negara Malaysia ini. Kenapa saya katakan demikian? Kerana pemimpin-pemimpin yang membentuk Malaysia sejak 1957 adalah pemimpin-pemimpin UMNO. Maka apa saja keputusan dasar yang dibuat adalah berdasarkan kepada dasar jemaah UMNO sendiri. Ramai umat Melayu di Malaysia yang tidak tahu bahawa UMNO merupakan jemaah yang mempunyai dasar dan matlamatnya sendiri. Ramai di kalangan mereka tidak sedar bahawa berada di dalam UMNO telah memperkuatkan jemaah UMNO, maka mereka menjadi pendokong kezaliman dan kemusnahan yang para pemimpin UMNO lakukan dan yang paling dahsyat ialah mereka akan dibangkitkan di akhirat nanti bersama-sama golongan yang mereka sokong, wana'uzubillah...
Firman Allah SWT "...(ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; .."(Al Israa: 71)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (kamu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim."(Al Maidah:51)
Telah berkali-kali PAS cuba membetulkan kefahaman Islam yang dibawa oleh UMNO atas sifat ikhlas sesama penganut Islam, tetapi ternyata akhirnya UMNO memperlekehkannya dan dijadikan bahan untuk meraih undi dan kepentingan politik mereka. Isu Amanat Haji Hadi dan Isu Hudud PAS adalah dua contoh tipikal bagaimana UMNO mengelak dari tanggungjawab agama terhadap kewajibannya sebagai pemerintah lalu memutar-belitkan isu dan memberikan label agar dirinya terus dianggap betul dan berada di jalan yang lurus. Sekali lagi umat Melayu ditarik perhatian oleh PAS tentang perjuangan jemaah UMNO yang tidak tepat dari sudut Islam apabila kenyataan TG Nik Aziz menyatakan bahawa PAS akan bubar jika UMNO terima Islam. Tetapi umat Melayu yang masih belum diberi hidayah masih terus berpegang secara ikut-ikutan kepada jemaah UMNO.
Kali ini TG Nik Aziz secara spesifik menyatakan bahawa Islam yang dibawa oleh UMNO tidak akan membawa penyokongnya ke syurga. Ya! Ia suatu lontaran idea bernas yang tepat pada masanya. Di kala usia UMNO sudah berada dihujung tanduk, ramai ahli-ahlinya yang sudah berasa was-was untuk bersama dengan mereka, kini serangan yang bertali arus berbentuk pemikiran dan kesedaran Islam ini tentu akan menjadikan nafasnya semakin sendat. PAS bukan mahu membunuh UMNO kerana namanya UMNO, tetapi mahu berdakwah dan mengajak seluruh umat Melayu bahawa kita akan selamat di Akhirat jika menerima Islam yang syumul sekaligus akan menyelamatkan Malaysia dari dimusnahkan oleh nafsu rakus pemimpin UMNO.
Lontaran idea ini seharusnya mengundang para cendikiawan Islam dan ahli-ahli akademik untuk mengkaji dan mengulas. Ianya perlu diambil kesempatan sebagai medan dakwah yang sudah terbuka. Para pemimpin PAS di peringkat Perhubungan dan Kawasan perlu menggunakan 'peluru' ini untuk kepentingan Islam dan menyelamatkan saudara-saudara se-Islam yang masih keliru. Penerangan perlu digerakkan dengan pesat. Harakah dan Harakahdaily perlu terus mengulas dan mengulas. Tunjukkan bukti-bukti bahawa sememangnya UMNO itu bukan jemaah Islam.
Lontaran idea itu sudah membuka mata dan memberi tamparan yang menyedarkan. Samada sedar dan insaf atau sedar dan kembali semula itu bergantung kepada keinginan mereka kepada Islam. Sedangkan jemaah komunis yang nyata jahat dan zalim itupun masih ada pengikut yang ramai, inikan pula jemaah UMNO yang berlidah lembut dan nampak Islamik juga. Namun ramai rakyat yang sudah mulai sedar. Begitu juga para jemaah Islam yang syok sendiri dengan kumpulannya yang apabila tiba hari mengundi tidak mengundi atau mengundi UMNO itu juga mulai mengkaji dan meneliti. Inilah ujian kefahaman yang perlu dilepasi oleh kita dan umat Melayu yang masih keliru. Mudah-mudahan Ramadhan Al-Mubarak kali ini menunjukkan jalan yang terang ke negeri Akhirat. Sebagaimana permohonan kita setiap kali solat iaitu "Tunjukkan kami jalan yang lurus" (Al-Fatihah: 5), maka bukalah hati dan minda kita, jangan taksub, agar hidayah itu sampai ke lubuk hati dan menimbulkan keinsafan...
"Selamat Mengimarahkan Ramadhan 1430H"