Tuesday, July 5, 2011

Bersih Dan Pakatan Rakyat Tidak Rugi Dengan Pertukaran Lokasi

Ibnul Munzir

Tahniah Pakatan Rakyat! Tahniah Bersih dan seluruh pendokong rakyat yang cintakan keadilan, atas kejayaannya memobilisasi rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Himpunan belum bermula. Hanya 'gegaran' dan 'gertakan' dalam ceramah, media cetak Pakatan Rakyat yang terbatas dan media alternatif yang dimonopoli oleh golongan muda, sudah mengecutkan 'hati-perut' mereka. Al Maklumlah, himpunan yang ditaja mereka untuk mengumpulkan sejuta belia hanya mampu mengumpulkan kira-kira 8,500 orang sahaja setelah sebahagiannya ditaja. Sedangkan gerakan Bersih 1.0 berjaya mengumpulkan lebih 100,000 orang dalam keadaan sekatan dan kepungan pihak polis dan FRU, simbahan air asid dan gas pemedih mata serta kekerasan pihak polis.

Barangkali inilah yang digambarkan oleh Rasulullah SAW:
"Aku ditolong dengan rasa takut (yang ditanamkan kepada musuh) sejak sebulan perjalanan". (HR Bukhari)

Firman Allah yang bermaksud:
"Kelak Aku jatuhkan rasa takut ke dalam hati orang-orang kafir (yang menentang kebenaran dan mempertahankan kezaliman)". (Al-Anfal : 12)

Apabila kebenaran yang diperjuangkan dan para pejuang cintakan ganjaran syahid, maka musuh-musuh Allah akan takut setakut-takutnya. Mereka menggunakan segala kekuatan dan kekuasaan. Polis di kerah, akta darurat digunakan dan akta ISA dipaksakan, tetapi aneh... tiada sedikit ketakutan kerana semua itu hanyalah cubaan yang sedikit sebagai jalan untuk mendapatkan kemenangan dan syurga Allah SWT.

UMNO-BN cukup takut dengan perhimpunan. Perhimpunan Bersih 1.0 pada tahun 2007 menyebabkan mereka kehilangan 5 buah negeri dan majoriti dua pertiga di parlimen. Persepsi rakyat serta-merta berubah dengan melihat ramainya rakyat berhimpun kerana ia membentuk keyakinan bahawa sebab yang diperjuangkan adalah benar... dan sememangnya ia benar... Nampaknya hari ini kerajaan UMNO-BN masih membela kezaliman dan menaja kemungkaran dengan mempertahankan sistem pilihanraya 'hantu', undi pos yang menipu, keengganan menggunakan dakwat kekal sebagaimana di Indonesia dan India menyebabkan pengundi yang dibiayai menjadi lanun kelas satu. Sistem sebeginilah yang bermati-matian dipertahankan oleh kerajaan UMNO-BN bagi menjaga survival politik mereka bagi meneruskan agenda merompak kekayaan negara yang merupakan milik rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perjuangan untuk pilihanraya yang adil merupakan kewajipan setiap individu. Kerana hanya keadilan pilihanraya akan memungkinkan Negara Kebajikan dapat diwujudkan. Oleh itu, Himpunan Bersih 2.0 wajib disertai oleh mereka yang tiada keuzuran. Ia merupakan persiapan bagi mendapat kejayaan. Firman Allah:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggetarkan musuh Allah".(Al-Anfal : 61)

Lokasi bukan menjadi masalah kepada kita. Perubahan tempat dari bandaraya Kuala Lumpur ke stadium mana sahaja yang ditetapkan oleh pimpinan, kita gegarkan himpunan dengan bilangan dan suara kita.

Meskipun dalam Perjanjian Hudaibiyah kelihatannya berat sebelah, namun Allah lebih mengetahui dan perancanganNya memenangkan golongan kebenaran. Begitu juga dengan tolak ansur yang berhemah dengan pemindahan lokasi ini, ia akan lebih membawa impak yang besar kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU13, InsyaAllah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...