Tuesday, July 5, 2011

Dr. Maza Masih Keliru, PM Najib Tak Perlu Sedia Stadium

Ibnul Munzir

Banyak kenyataan yang kononnya bersifat cerdik dan profesional tetapi sebenarnya lebih bersifat 'melarikan diri' dan 'keliru' dalam menanggapi perhimpunan yang akan diadakan bagi menuntut pilihanraya bersih dan adil. Terbaru, Dr. MAZA yang terkenal dengan pandangannya yang bersifat non-partisan membuat kenyataan agar Bersih menerima cadangan PM bagi mengadakan perhimpunan di dalam stadium.

Pertamanya saya ingin mengingatkan bahawa tujuan kita berhimpun beramai-ramai adalah untuk menzahirkan sokongan rakyat terhadap ketidakadilan sistem pilihanraya Malaysia. Bukannya semata-mata mahu berhimpun dan menjerit-jerit sebagaimana yang didakwa. Perhimpunan di stadium boleh menampung berapa ramai peserta? Sedangkan stadium terbesar di Malaysia ialah Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya boleh menampung seramai 100 ribu orang. 100 ribu yang lain nak letak mana?

Dr. Maza perlu sedar bahawa UMNO-BN sangat takut dengan ramainya orang berkumpul bagi menunjukkan penentangan terhadap mereka. Ia akan menggugat sokongan kepada BN pada PRU13. Masalah keselamatan semasa berhimpun bukan persoalan kerana selama ini berapa banyak huru-hara yang berlaku di Malaysia akibat perhimpunan yang dianjurkan oleh PAS/Bersih atau pembangkang? Tidak ada satupun... Apa yang berlaku adalah provokasi oleh Polis dan FRU. Pun begitu, demonstrator tetap tidak pernah melawan. Malah apa yang berlaku di Kuala Terengganu ketika berlaku tembakan peluru hidup pun kemusnahan itu bukan disebabkan oleh demonstrator kecuali ada dalang-dalang (termasuk SB?) yang melakukannya.

Apa yang cuba dikelirukan oleh PM Najib, dan malangnya Dr. MAZA pun keliru ialah Najib tak perlu sediakan stadium, kerana tujuan perhimpunan adalah kerana menuntut pilihanraya dibersihkan. Kalau betul PM Najib prihatin, terima saja tuntutan Bersih 2. Habis ceritan. Mengapa mahu membela kezaliman dan penyelewengan?

Sepatutnya Dr. MAZA yang cerdik ini membincangkan kewajaran tuntutan Bersih 2, bukannya kewajaran mengadakan perhimpunannya.

Berikut adalah kenyataan beliau.

Bersih Dinasihatkan Terima Cadangan PM - Mohd. Asri

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berhimpun di stadium berbanding berdemonstrasi haram di sekitar ibu kota pada Sabtu ini.

Menurut beliau, tawaran menjadikan stadium sebagai lokasi perhimpunan merupakan satu cadangan yang boleh diterima semua pihak bagi mengelakkan tercetusnya huru-hara.

"Perhimpunan di dalam stadium pastinya lebih selamat. Mereka (penganjur) juga boleh meminta wakil Yang di-Pertuan Agong untuk menerima memorandum bagi menuntut pilihan raya telus dan adil.

"Jika melimpah (terlalu ramai), berikan saja isyarat, orang ramai boleh duduk di luar stadium tanpa sebarang gangguan," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Malah beliau turut mengesyorkan perhimpunan Bersih digantikan dengan Minggu Bersih agar sesiapa saja yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada dapat meluahkan perasaan mereka.

"Bukan saja mereka yang menuntut sistem demokrasi lebih adil tetapi rakyat yang membantah kenaikan harga barang juga boleh menyertai kempen Minggu Bersih ini," ujarnya.

Bagi memastikan kempen itu berjalan secara efektif, beliau mencadangkan ia diadakan selama seminggu dengan rakyat mengibarkan bendera Malaysia sebagai menyokong tuntutan terhadap pilihan raya telus dan adil.

"Dengan cara ini, lebih ramai rakyat dapat turut serta dalam keadaan yang lebih selamat dan meriah. Mereka juga boleh memakai riben kuning tanpa perlu mengadakan demonstrasi haram," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno juga boleh mengadakan kempen tersendiri pada tarikh berbeza.

"Mereka boleh atur kempen masing-masing...tak patut sertai Minggu Bersih. Namun segalanya terpulang kepada mereka sama ada ingin mengadakan kempen pada tarikh yang sama atau berbeza," tambahnya.

Bagaimanapun, Dr Asri memberitahu cadangan itu disuarakan bukan sebagai menyokong atau membantah tawaran Najib. Namun sebaliknya beliau berkata, setiap rakyat berhak bersuara bagi menuntut sistem demokrasi yang lebih adil.

Pada Isnin, Najib berkata kerajaan bersedia membenarkan perhimpunan Bersih jika ia diadakan di stadium.

"Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan...mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

"Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara," katanya.

Pada Ahad, Tuanku Mizan bertitah supaya rakyat di negara ini tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Baginda turut bertitah supaya pihak kerajaan melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...