(Ibnul Munzir)
Ranjau menuju kejayaan tetap ada dan itulah sunah perjuangan. Ranjau itu menyakitkan. Ranjau itu mengecewakan. Kadangkala ranjau itu menakutkan si pejuang. Namun jika takut dengan cabaran, jangan sebut pasal perjuangan.
Si pejuang tempatnya tinggi dalam masyarakat. Meskipun kadangkala ianya tewas sebelum mendapat kejayaan, namun namanya akan terus dikenang oleh kawan dan lawan. Lihat Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong, Ust. Abu Bakar Al-Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan ramai lagi itu merupakan para pejuang tulin yang belum sempat mendapat apa-apa kemenangan namun tetap dikenang sebagai para pejuang yang berada di hati rakyat Malaysia, meskipun aliran pemikiran dan perjuangannya berbeza dengan pemerintah.
Bagi para pejuang Islam, mereka bukan saja berada di kelas yang tersendiri di mata dunia, tetapi mereka juga mempunyai kelas tersendiri di akhirat dan sentiasa dirindui oleh bidadari, barangkali oleh 'Ainul Mardhiah, bidadari tercantik di syurga sendiri.. Subhanallah.
Tidak kira menang atau kalah, si pejuang menganggap ianya adalah suatu perjalanan, bukan destinasi. Jika kalah ia akan terus berjuang untuk kemenangan, jika sudah menang akan terus berjuang untuk mengekalkan kemenangan atau mendapatkan kemenangan yang lebih besar lagi. Itulah diari hidup si pejuang. Bilakah ianya menjadi destinasi... Ya! inilah soalan yang ditunggu-tunggu... Destinasi kemenangan adalah di akhirat apabila dianugerahi Allah dengan syurga dengan segala mahligai yang terindah dan bidadari yang tercantik. Subhanallah...
Kekalahan rakyat Perak di tangan puak penguasa (Badan Kehakiman) dan penjenayah UMNO dan BN tidak meninggalkan bekas di hati para pejuang seperti DS Nizar dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Keputusan hakim berlima yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff tidak memberikan apa-apa erti keadilan kepada rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya kerana majoriti rakyat telah tahu dan menduga akan keputusan itu sebelum ianya diputuskan. Keputusan hakim yang hanya akan menjadi bahan ketawa dan ejekan itu sebenarnya suatu rahmat kerana rakyat semakin jelas akan kebobrokan institusi kehakiman dan badan perundangan di Malaysia. Sebelum kebobrokan itu menjadi bala yang menimpa seluruh rakyat Malaysia yang tidak berdosa, maka menjadi keajipan untuk seluruh rakyat menolak UMNO-BN selepas ini bagi menyelamatkan Malaysia dari terus hancur dimakan sang penguasa anai-anai ini.
Kekalahan rakyat Perak ini juga merupakan satu siri dari siri-siri 'jenayah' yang pernah berlaku dan perlu dijadikan isu untuk lebih bersemangat bagi menjana kuasa rakyat bagi menegakkan keadilan yang sebenar.
Jika kemenangan memihak kepada rakyat Perak, pastinya negeri Perak akan menghadapi satu pilihanraya kecil dalam masa 60 hari sedangkan kekalahan rakyat Perak hanya akan melewatkan pilihanraya kepada 2-3 tahun lagi. Ia tiada bezanya. Ia hanya merupakan rahmat Allah bagi para pejuang mengumpul kekuatan. Ia akan menambahkan pahala bagi pejuang Islam meluaskan dakwah bagi kemenangan yang lebih besar di destinasi yang sebenar nanti.
1 comment:
Aslkm.
Wah,lama tak keluar artikel...sekali keluar menyengat!Apapun,setuju sangat-sangat dengan apa yang dinukilkan...
Post a Comment