Meskipun tidak menulis dalam jangkamasa yang cukup lama, malah tidak keterlaluan kalau dikatakan terlalu lama, namun saya sentiasa mengamati berita terkini terutama pemikiran umat Melayu yang cukup menghairankan malah kadangkala menyakitkan. Namun apakan daya, itulah penyakit pemikiran bangsaku yang sudah tentulah akan diserahkan rawatannya kepada para perawat dari bangsanya sendiri.
Saya suka melihat penyakit ini melalui pemerhatian politik kerana sudut ini lebih jelas berbanding sudut-sudut yang lain dalam 'menelanjangkan' penyakit pemikiran bangsaku ini. Barangkali juga lebih efektif untuk merawatnya (?).

Saya terasa malu bila mengetahui keputusan dua pilihanraya yang baru berlalu iaitu PRK Parlimen Hulu Selangor dan PRK Parlimen Sibu. Sambil saya menginsafi bahawa berlakunya PRK tersebut bukanlah suatu yang kebetulan bahkan adalah perancangan Allah jua. Itulah hakikat yang perlu diterima bagi kita umat Islam yang berakal.
Kalau kita melihat kepada dua pilihanraya itu, ia berlaku dalam jangka waktu yang dekat. Belum ada isu baru yang prominent yang boleh mempengaruhi pengundi. Hanya tambahan isu seperti judi bolasepak piala dunia saja yang saya rasa tidak begitu menonjol. Ertinya, isu yang dibawakan kepada para pengundi di kedua-dua parlimen adalah lebih kurang sama. Malah kedua-duanya adalah merupakan PRK bagi kawasan parlimen.
Di Kuala Selangor, majoriti penduduk Melayu Islam yang pagi petang siang malam terdedah dengan kejahatan para pemimpin UMNO/BN melalui akhbar-akhbar alternatif dan internet, tiba-tiba masih memenangkan calon BN dari MIC (Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC Selangor). Sedangkan pengundi India di Kuala Selangor adalah minoriti yang sukar untuk menentukan kemenangan. Tetapi Melayu sanggup memilih calon itu yang tak ada sebab untuk dipilih berdasarkan peribadinya mahupun partinya. Ertinya, penerimaan Melayu di Kuala Selangor adalah kerana mereka menyokong BN. Di sini bukan ingin menimbulkan perasaan perkauman, tetapi ingin memberitahu bahawa kalau dilihat atas kertas, sebenarnya calon MIC itu telahpun kalah. Peribadinya tidak dikenali dan parti yang diwakilinya (BN) merupakan parti yang telah busuk luaran dan dalamannya. Namun kerana Melayu masih menyokong BN, maka undi Melayulah yang menentukan kemenangan kepada calon MIC itu.
Sedangkan di Sibu, keadaan yang sebaliknya berlaku. Majoriti pengundinya adalah Cina, diikuti Iban dan lainnya. Dalam suasana serba kekurangan dan tiada isu besar dalam negeri Sarawak yang boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada BN, namun BN ternyata kalah kerana majoriti pengundi bukan Melayunya telah menyokong PR. Di sinilah Allah ingin memberi iktibar bahawa Melayulah yang perlukan ubat untuk berubah. Bangsa ini masih sayangkan BN entah apa sebabnya. Entah bagaimanakah mahu memberikan kesedaran kepada bangsa ini yang dulunya merupakan pemilik Tanah Melayu yang cukup gah dengan kepahlawanan Hang Tuah. Ya! Melayu perlu berubah. Melayu perlu diubah... dan Melayulah faktor perubah.
Hari ini BN terlalu banyak liabiliti politiknya. Tiada siapa dapat menjawab isu besar yang dibangkitkan dek kerana ianya adalah kelemahan kepimpinan BN yang sangat nyata. Isu Eurocopter dan Scorpene, isu pembunuhan Altantuya, isu PKFZ, isu kehilangan dua enjin jet TUDM, isu pembunuhan Teo Beng Hock, isu rasuah yang semakin parah dan beberapa isu baru seperti judi bolasepak dan sebagainya merupakan isu besar yang sepatutnya membangkitkan kesedaran kepada Melayu terhadap moral dan keupayaan pemimpin mereka, namun rupa-rupanya 'peluru-peluru' itu masih tidak lut untuk masuk ke dalam naluri dan emosi mereka. Ia hanya sampai di gegendang telinga sahaja tanpa memberikan sebarang kesan.
Mungkinkah Melayu ini hanya dapat disedarkan dengan isu yang menimpa atas kepala mereka seperti isu kenaikan harga petrol dan harga barang? Mungkinkah Melayu hanya sensitif dengan isu bangsa mereka sebagaimana isu yang menimpa DSAI pada tahun 1998? Sama-samalah kita fikirkan dan mencari ubat yang mujarab.
Bangsa lain telahpun sedar. Cina, India, Iban dan lain-lain telah mempunyai kesedaran untuk berubah demi keamanan dan kemakmuran Malaysia. Namun, cukup malang apabila Melayu masih di takuk lama. Segala kejahatan BN dan pemimpinnya yang jelas berlaku masih dapat diterima asalkan "aku masih dapat makan dan tidur dengan selesa." Sikap pelik Hang Tuah dalam mentaati rajanya dulu rupa-rupanya bukan sikapnya seorang, tetapi sikap yang telah menjadi warisan keturunan Melayu sehingga hari ini, mentaati pemimpin walau apapun yang berlaku!
Islam Adalah Penyelamat
Kini Islam tidak lagi ditakuti oleh bangsa selain Melayu. Islam bukan lagi agama bangsa. Islam merupaka agama sejagat. Semua manusia berhak menganut Islam untuk syurga yang Allah janjikan. Islam agama keamanan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Dengan neraca Islam, segala kejahatan UMNO/BN semakin jelas. Berbondong-bondong Cina, India dan bukan Melayu masuk Islam. Ramai juga wakil-wakil rakyat bukan Melayu yang ingin memeluk Islam. Beberapa tahun lagi, Parti Islam bukan lagi ditunjangi oleh orang Melayu, tetapi akan ditunjangi oleh bukan Melayu yang Islam. Pada ketika itu, bangsa bukan Melayu berebut ingin ganjaran jihad, pahala dan syurga sedangkan Melayu akan terus ketinggalan. Kalau inilah sikap orang Melayu, maka tunggulah masanya akan tiba bangsa Melayu akan lenyap.
Dengan semangat, sikap dan carakerja kaum Cina dan India selama ini, kita bersyukur jika mereka dapat mendokong Islam di Malaysia. Kita yakin Islam akan tertegak dengan sokongan dan dokongan mereka. Kita tidak bimbang bangsa apa yang akan mendokong Islam, asalkan Islam ditegakkan. Apabila Islam yang tegak, InsyaAllah semua kaum akan selamat, semua agama akan selesa dan negara akan selamat. Kerana Islam adalah penyelamat.
Oleh itu, Islam perlu diketengahkan dalam apa juga bentuk programnya. Namun, Melayu perlu diperlihatkan bahawa Islam itu akan mendatangkan kebaikan kepada mereka meskipun Islam itu adalah agama anutan mereka berkurun lamanya. Melayu masih keliru tentang Islam. Melayu cukup sukar memahami Islam yang sebenar. Umat Melayu sudah terlalu jauh meninggalkan ajaran Islam kerana UMNO/BN menggambarkan bahawa Islam itu susah, extreme, mundur dan sebagainya. Akhirnya Melayu cukup keliru dengan agamanya sendiri. Umat Melayu cukup gilakan cara hidup Barat sehingga akhlak Melayulah yang paling banyak hancur dan musnah di Malaysia dengan anak luar nikah, dadah, rempit dan sebagainya. Dengan kemusnahan ini, UMNO/BN berjaya mendapatkan mileage politiknya...
No comments:
Post a Comment