(Ibnul Munzir)
Entahlah... adakah ia kerana bangsa Melayu yang mempunyai DNA sebegitu atau 'bangsa Malaysia' yang berjaya dilayukan oleh sistem pemerintahan yang bersistem 'ala British' dan dipimpin oleh golongan pemimpin yang gagal membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri.
Entahlah... bagaimana bangsa ini boleh bersikap 'alah... tak mengapa' dengan apa saja penyelewengan dan kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin. Bila pemimpin berkereta besar, mereka yang duduk dalam gubuk buruk beratap rumbia akan berkata 'alah... padanlah mereka pemimpin, tentu boleh berkereta besar'. Bila pemimpin melakukan rasuah, Pak Imam kampung boleh berkata, 'alah... biarlah, bukan banyak dia makan rasuah. Orang lain lagi banyak'. Bila pemimpin berlaku zalim, penduduk kampung akan berkata 'alah... dia kan pemimpin, boleh buat suka hati dia lah. Ada kuasa. Kalau kita pemimpinpun boleh buat macam mereka.' Subhanallah... bagaimana bangsa ini begitu 'berhati lembut' terhadap penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, zalim dan berpuluh lagi sifat keji dan membawa kerosakan itu? Sudah matikah hati dan perasaan mereka?
Tapi, apa yang peliknya ialah pemimpin yang rasuah itu bangsa Melayu juga. Pemimpin yang menipu itu bangsa Melayu juga. Pemimpin yang zalim itu bangsa Melayu juga. Tetapi barangkali Melayu yang sudah mati hati dan perasaan mereka. Bangsa yang sudah begitu 'keras hati' terhadap apa saja keburukan dan kerosakan yang mereka lakukan sehingga tidak memikirkan bangsa dan negaranya.
Kenapa ya? Kenapa bangsa ini tidak sensitif sebagaimana bangsa Cina dan India? Usiklah kedua bangsa ini, nescaya bagai nak rak dunia dibuatnya. Hebatnya bangsa ini dalm persatuan mereka. Bukan saja dari segi persaudaraan, malah dari segi ekonomi dan perniagaan. Meskipun sebahagiannya tinggal jauh di estet-estet, namun network mereka sehingga ke bandar-bandar.
Apakah kerana bangsa ini bangsa majoriti di negara sendiri? Apakah kerana bangsa ini selalu diberi subsidi? Apakah kerana bangsa ini terlalu banyak berpegang kepada budaya dan pantang larang? Apakah bangsa ini tidak lagi berpegang kepada agama sebagai paksi kekuatan? Tetapi, lebih aneh lagi ialah bila hanya kesedaran berpolitik bangsa ini saja yang sangat rendah. Tidak sensitif. Kalau hal lain seperti bangsa disentuh, mereka sanggup mati menghunus keris. Kalau agama diremehkan mereka sanggup bertindak melanggar undang-undang demi mempertahankan agama. Itukah ciri-ciri bangsa Melayu? Entahlah...
Tidakkah bangsa Melayu itu boleh sedar bahawa mereka boleh hidup dengan lebih baik jika mereka dapat menukar pemerintah yang ada hari ini? Sekurang-kurangnya mereka cuba menukarnya kalaupun mereka tidak percaya akan kebolehan parti selain BN boleh memerintah. Kalau tidak berpuas hati, mereka boleh tukar semula kepada BN yang mereka sayangi. Lihatlah Kelantan telah membuktikan bahawa hidup rakyatnya lebih baik di bawah PAS. Lihatlah Kedah membuktikan pemerintahan lebih baik di bawah PAS. Begitu juga dengan Pulau Pinang yang dapat menguruskan negeri itu dengan lebih baik di bawah DAP, Selangor di bawah PKR dan Perak di bawah PAS sebelum dirampas secara zalim dan tidak bermaruah oleh saudara Melayu mereka dari BN. Semua negeri-negeri ini di bawah payung Pakatan Rakyat (PR).
Kini kelihatan negara kaya Malaysia ini seolah-olah telah kehabisan dana. Seluruh rakyat dikenakan cukai. Hingga barangan pangguna juga akan dikenakan cukai tak lama lagi. Elaun-elaun dipotong sehingga elaun pendidikan di sekolah-sekolah juga dipotong. Tidakkah bangsa ini melihat semua ini dari sudut politiknya? Iaitu semua malapetaka dan kerosakan ini boleh diubah oleh mereka melalui kuasa politik yang ada pada tangan mereka iaitu undi!
Lihatlah pembaziran yang dilakukan dengan pembelian 12 buah Eurocopter yang bernilai RM2.317 billion, sedangkan India boleh mendapatkannya dengan harga lebih murah dan jumlah ini mampu menyediakan lebih 50 buah helikopter oleh negara Brazil. Apakah Perancis menjual kepada Malaysia dengan harga lebih mahal? Fikirkanlah... Pemimpin BN juga menghabiskan duit negara dengan membeli 2 buah kapal selam Scorpene yang bernilai RM1.16 bilion di mana RM500 juta adalah sebagai komisen pegawai kerajaan yang membelinya. Mengapa begitu banyak wang diberikan sebagai komisen? Mengapa pegawai kerajaan menerima komisen dalam urusan kerajaan? Fikirkanlah...
Lihatlah pula skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang menelan RM4.6 bilion sedangkan kos sepatutnya hanyalah RM2.5 bilion. Ke mana pergi RM2.1 bilion sehingga kini masih belum ditemui. Masing-masing pakat-pakat susup fail? Fikirkanlah... Terbaru, skandal kehilangan 2 buah enjin jet tempur F-5E semasa Dato' Seri Najib menjadi Menteri Pertahanan pada tahun 2007. Seolah-olah tak dapat projek pembangunan, mereka curi harta negara dan jualkannya untuk dapat duit poket. Ya! Pencuri yang terhebat abad ini yang barangkali lebih hebat dari David Copperfield yang dapat menghilangkan Statue Of Liberty di New York. Fikirkanlah...
Malaysia terus hangat apabila didedahkan bahawa selama 22 tahun Tun Mahathir memerintah Malaysia, rupa-rupanya RM100 bilion duit negara hangus. Subhanallah, pada ketika semua bangsa Melayu sedang dipukau oleh kehebatan beliau yang kononnya memerintah dengan cemerlang, rupa-rupanya rakyat juga yang terpaksa menanggung kerugiannya. Ke mana hangusnya wang yang begitu banyak itu masih belum dijawab oleh beliau. Apakah rakyat selama 22 tahun ini tertipu dan ditipu? Fikirkanlah...
Lebih menggemparkan lagi apabila penggantinya Pak Lah lebih hebat darinya dalam menghanguskan wang negara apabila dalam 5 tahun memerintah, RM270 billion hangus di tangan Penghulu Hadhari ini! Masya Allah... Setakat ini belum ada penafian yang dibuat oleh Pak Lah. Ke mana perginya wang yang begitu banyak itu? Fikirkanlah...
Apakah semua berita-berita ini tidak diketahui oleh bangsa Melayu? Mustahil mereka tidak tahu dalam dunia tanpa sempadan ini. Pastinya mereka tahu... cuma apa yang peliknya ialah bagaimana bangsa ini berfikir dan membuat keputusan. Setelah sekian banyak kebobrokan pemimpin hari ini (BN) didedahkan, mereka masih mempunyai sikap 'alah... tak mengapa'. Mungkin inilah ujian Allah ke atas para pejuang di Malaysia. Berhadapan dengan bangsa sendiri yang mempunyai cara pemikiran yang pelik. Mampukah pemimpin masa depan mengubah minda bangsa ini? Sama-samalah kita fikirkan dan usahakannya dengan segenap kemampuan yang ada.
No comments:
Post a Comment