Tuesday, October 13, 2009

PAS Perlu Berevolusi Untuk Menerima 'Parti Pakatan Rakyat'

(Ibnul Munzir)

Kekalahan di dalam PRK Bagan Pinang adalah satu rahmat. Bagi seorang penyokong, ia mengecewakan. Pasukan pilihan kalah dalam perlawanan bolasepakpun rasa kecewa, sudah tentu PRK ini dengan segala usaha dicurahkan, wang ringgit dibelanjakan, doa dipanjatkan, tetapi akhirnya kalah... ia berhak untuk dirasai kecewanya.

Namun bagi umat Islam yang ikhlas bekerja kerana Allah, kita tidak rugi kerana hasil usaha kita itu akan dapat kita rasai di akhirat sana. Negeri yang pasti kita duduki di mana Allah akan memberikan keadilan kepada semua manusia. Kita akan tahu nikmatnya ganjaran Allah dan nikmat itu tidak akan habis sampai bila-bila. Itu janji Allah yang pasti akan berlaku. Firman-Nya:
"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan beroleh rezeki." (Ali Imran:169)

Apa yang berlaku ini memungkinkan kita untuk kembali mengambil iktibar apakah sebenarnya gabungan Pakatan Rakyat ini benar-benar mantap? Apakah ada lagi jalan yang perlu diambil untuk menjadikan sokongan rakyat kepada gabungan ini terus solid sehingga mampu membentuk kerajaan selepas PRU-13? Sebagai pemerhati di pinggiran ini saya rasa agak kaget dengan keputusan PRK Bagan Pinang itu. Ia berlaku betul-betul selepas kemenangan bergaya di Permatang Pasir. Kalaulah benar rakyat tidak menolak gabungan Pakatan Rakyat, mengapa kemenangan UBN itu begitu besar seolah-olah PAS yang bertanding berseorangan diri? Kalaulah rakyat memang menolak gabungan Pakatan Rakyat apakah isunya? Apakah isu kuil dan kepala lembu di Selangor itu begitu besar sehingga rakyat Bagan Pinang begitu membenci Pakatan Rakyat? Apakah isu calon yang merupakan seorang bekas Menteri Besar yang barangkali begitu berjasa itu begitu menawan pengundi-pengundi Bagan Pinang sedangkan seluruh dunia tahu bahawa dia adalah seorang yang kotor dan dosa rasuahnya masih memalit tubuhnya? Apa yang nyata, pengundi Melayu terus menyokong UBN dan pengundi bukan Melayu kembali kepada UBN.

Saya berpendapat barangkali BN telah menemui 'hot button' bagi menewaskan PR. Hot button? Ia tidak mustahil bukan? Dan barangkali hot button ini juga akan menghalang penguasaan PR di Pantai Barat Semenanjung yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang ramai. Jangan terkejut jika ada PRK lagi di negeri-negeri itu dan UBN terus memenangi PRK tersebut. Apakah ini bermakna PR mempunyai kelemahan yang nyata? Tidak mustahil.

Saya bukanlah seorang yang cekap berpolitik. Saya pula bukan ahli politik. Namun apa yang saya lihat, sememangnya terdapat kelemahan gabungan Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang. Ini kerana ia berdasarkan semangat setiakawan sahaja. Kalau semangat itu hilang bagaimana? Isu atas meja makan sajapun boleh menghancurkan semangat tersebut. Ia bukan ikatan akidah yang tahan lebih lama dan sanggup mati kerananya.

Zaman moden ini, semua orang nakkan bukti. Semangat semata-mata adalah tidak menjamin apa-apa. Apatah lagi untuk memerintah Malaysia hanya dengan semangat setiakawan, ia barangkali bukan merupakan satu hujah yang kukuh untuk pengundi-pengundi atas pagar. Bahkan para penyokong tegar masing-masing partipun masih was-was dengan semangat ini. Sebagaimana pertunangan, kalau tidak diikat dengan perkahwinan ia ibarat rumah labah-labah. Hanya sehelai daun gugurpun mampu memutuskan ikatannya.

Begitulah juga dengan gabungan PR ini. Barangkali idea ini menentang arus. Apatah lagi hujah PAS sendiri cukup jelas kenapa perlu bergabung saja tanpa menubuhkan sebuah parti PR. Namun dalam berpolitik kita perlu melihat sebarang kebarangkalian yang ada untuk menang. Ia boleh diusahakan. PAS sendiripun mengalami banyak evolusi sehingga hari ini ia diterima oleh semua bangsa dan agama adalah hasil evolusi itu. Dulu tiada wakil rakyat wanita dalam PAS. Dulu tiada calon bukan Islam mewakili PAS. Dulu tiada keahlian bukan Islam dalam PAS. Tetapi kini semuanya boleh diusahakan.

Apabila kita menjadikan wadah demokrasi ini sebagai wadah perjuangan 'muwajahah fissilmiyyah' maka kita perlu melakukan toleransi dan banyak perubahan bagi menggarap kemenangan. Apa yang membezakan kita dengan orang lain ialah perjuangan kita berdasarkan akidah dan demi untuk menegakkan Islam.

Saya percaya, inilah kelemahan nyata yang perlu diperbaiki oleh gabungan PR yang barangkali telah dihidu oleh UBN sehingga berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi. Maka hot button ini perlu segera ditutup dan PR menjadi satu wadah yang terbaik bagi membina Malaysia Baru.

4 comments:

nasikerabupetro said...

Pada pandangan sahabat-sahabat yang bertugas di sana, selain masalah sumber manusia yang kritikal, masalah pelaksanaan strategi yang lemah jadi punca.

Risalah dan CD penerangan tak diedarkan pada setiap rumah. Tenaga tempatan memang langsung tak ada yang dapat bantu guide. Jentera luar bergerak sendiri. Bahan penerangan banyak terbiar tak diedar.

Untuk adakan ceramah pun, buat atas faktor tempat tu BOLEH buat, bukan tempat tu MESTI kita buat. Maknanya, keberanian tu tak ada.

Nak buat macamana.
Kawan-kawan saya masa di kampus dulu yang banyaknya pimpinan hebat datang dari N9. Ada satu batch tu, 3/4 dari N9, siap jadi MT dan Syura lagi. Sekarang ni?
Semua berada dalam government.
Senyap tupah...

Bagi saya pula, kalau dah karat biru dan tak ada usaha menjadikan negeri cintakan ilmu akhirat macam Terengganu, Kelantan dan Kedah... memang payah nak basuh.

Sekadar picisan pandangan.

Anonymous said...

Jarang cik baity kita ni marah... macam nak ngamuk napok.

nasikerabupetro said...

x marah pon, sedikit kecewa saja dengan sikap "pejuang Islam" yang kuat dulunya.

Ibnul Munzir said...

Sayapun ada pengalaman dengan sahabat-sahabat yang lantang dan hebat semasa di MRSM Kulim dan Kampus dulu. Tapi kini menyepi. Barangkali matlamat hidup, tekanan dan biah tak solehah yang menyebabkan mereka menyepi. Sebab tu pasangan hidup tu penting cari yang pejuang juga. Kalu duduk jauh-jauh dari orang lainpun, spouse boleh tolong kejut-kejutkan. Tapi yang jelas, bermula dengan meninggalkan usrah, mereka seolah-olah telah menceraikan biah solehah itu dari diri-diri mereka...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...