Pengalaman ini diperolehi dalam perjalanan singkat dengan menaiki TTI Cruise (bot pelancong yang disediakan di Taman Tamadun Islam) mengelilingi sebahagian khazanah negeri Terengganu yang terletak di sekitar perairan Kuala Terengganu ini. Barangkali ramai lagi warga Terengganu yang tidak menyedari kewujudan khazanah ini meskipun sebahagiannya adalah 'hand-made' menggunakan wang rakyat oleh kerajaan UMNO/BN yang lalu. Namun, ianya telah menjadi sebahagian bahan sejarah yang perlu diketahui kewujudannya samada yang dibenci atau disukai oleh rakyat.
Program yang pada awalnya dirancang untuk meraikan sepasang mempelai yang baru bernikah, di samping meraikan 2 orang anak yang sedang bercuti dan akan kembali menyambung pengajian sebagai persediaan ke Mesir. Meskipun sahabat tersebut terpaksa balik awal kerana hal yang penting, namun saya sekeluarga meneruskan perancangan untuk mengelilingi pulau-pulau persekitaran TTI pada pagi itu, 5 Jun 2009.
Kami bertolak seawal pukul 10 pagi sebagai kumpulan pertama yang 'melancung' menggunakan TTI Cruise itu. Berikut adalah sebahagian gambar-gambar yang saya ambil dengan menggunakan kamera telefon Nokia 3110 sambil mendengar penerangan daripada pemandu pelancung. Sebahagian gambar-gambar itu bukanlah dari kategori bahan sejarah, tetapi hanyalah untuk menyedapkan dan melengkapkan cerita saya dalam perjalanan ini sahaja. Untuk makluman, gambar-gambar yang diambil ini adalah secara berurutan sepanjang perjalanan itu.
Perjalanan dimulai dengan menyusuri Sungai Terengganu menuju ke arah hulu sungai. Ia melalui Kg. Losong Panglima Perang dan Losong Muzium.
Ini adalah bot nelayan di Kg. Losong Panglima Perang berdekatan pulau Wan Man di mana TTI itu didirikan. Lihat perangkap ikan di atas bot itu. Ia merupakan salah satu kaedah menangkap ikan di negeri Terengganu. Ia umpama bubu yang diletakkan umpan dan dimasukkan ke dalam air bagi menarik ikan untuk masuk.
Ini adalah gambar keajaiban Allah SWT berhampiran di kampung itu. Lihat pohon kelapa yang berada dicelah-celah pohon kayu itu. Batangnya yang cukup panjang itu 'berbelit-belit' antara dahan-dahan pohon kayu itu untuk mendapatkan cahaya matahari.
Setelah melalui Kg. Losong Panglima Perang, pelancung akan melalui Losong Muzium. Kg. ini dipanggil Losong Muzium kerana terdapatnya Muzium Negeri Terengganu yang dulunya pernah menjadi muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Kini muzium ini masih menjadi muzium yang terbesar di Malaysia. Antara koleksi yang menarik di sini ialah Batu Bersurat yang original terdapat di dalamnya.
Lihat bangunan berbumbung merah itu. Ia adalah Muzium Negeri Terengganu.
Kelihatan seorang elayan yang sedang mencari rezeki di situ. Ini merupakan antara akativiti penduduk kampung di sini.
Seterusnya bot pelancung kami membelok ke kanan dan melalui Pulau Sekati. Pulau ini mempunyai kira-kira 500 orang penduduk. Ia dihubungkan dengan daratan di Kg. Paloh dengan jembatan yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki dan motorsikal sahaja. Kereta penduduk di situ terpaksa parkir di Kg. Paloh sahaja. Pulau ini terkenal dengan sabung ayam suatu ketika dahulu di mana pemenang pertandingan sabung ayam akan menerima sekati emas! Inilah punca nama itu diperolehi.Kelihatan seorang elayan yang sedang mencari rezeki di situ. Ini merupakan antara akativiti penduduk kampung di sini.
Kemudian bot pelancung kami melalui Kg. Bukit Datu dan Kg. Seberang Bukit Tumbuh. Kg. Bukit Datu diperolehi sempena nama tempat di Negeri China kerana di sini adalah salah satu tempat persinggahan pedagang dari negeri tersebut suatu ketika dahulu. Kg. Seberang Bukit Tumbuh pula merupakan kampung yang panjang sehingga ke Kg. Hulu Takir.
Tempat ini dipanggil Pengkalan Batu di Kg. Bukit Datu. Apabila air sungainya surut, akan kelihatanlah batu-batu yang banyak dan bot-bot nelayan tidak dapat merapat ke tebing.Ini adalah pemandangan di sebelah kanan kami. Pulau Wan Man dari jauh yang berlatar-belakangkan Bukit Besar. Pulau ini kecil sahaja. Ia bermula dari pintu gerbang kuning berkubah itu (kanan) dan berakhir di Masjid Kristal (kiri). Ia dihuni oleh 5 keluarga yang diketuai oleh seorang yang bernama Wan Man. Apabila TTI didirikan, mereka terpaksa berpindah apabila kerajaan negeri membayar pampasan kepada mereka.
Ini adalah bot nelayan Negeri Terengganu. Ciri-cirinya dikenal pasti dengan bahagian 'rumah' di atas bot itu berwarna hijau. Huruf C menunjukkan bot ini boleh beroperasi di laut dalam.Ini adalah pemandangan di Kg. Seberang Bukit Tumbuh. Kelihatan jeti moden yang banyak digunakan oleh penduduk kampung. Lihat rumah mewah di sebelahnya yang merupakan milik salah seorang nelayan di sini. Banyak juga rumah-rumah mewah seperti ini yang menunjukkan taraf kehidupan nelayan di sini.
Pusat servis bot kecil nelayan di sini.
Dalam perjalanan melalui Kg. Seberang Bukit Tumbuh itu, kami melalui beberapa buah Pulau kecil di sebelah kanan kami. Antaranya ialah Pulau Hj. Sioh. Nama pulau ini diambil dari nama seorang perempuan. Meskipun perempuan, namun panggilan 'haji' adalah tidak asing di sini. Menurut sumber, pulau ini juga merupakan tempat melatih ilmu persilatan pada zaman dahulu. Mungkin suami Hj. Sioh merupakan pakar ilmu persilatan nusantara. Di Pulau ini hanya terdapat satu keluarga sahaja iaitu keluarga Hj. Sioh. Namun Hj. Sioh hanya memiliki separuh dari pulau ini sahaja dan separuh adalah milik kerajaan Terengganu. Kini Hj. Sioh telah meninggal dunia, namun keluarganya masih menetap di sini dengan sebahagiannya menjadi pengusaha hasil sungai.
Pulau Hj. Sioh.
Di sebelah kiri kami masih lagi Kg. Seberang Bukit Tumbuh yang panjang itu.Perjalanan kami juga melalui Pulau Mayat. Namanya agak 'menyeramkan'. Mungkin terdapat banyak tengkorak atau perkuburan di sini? Tidak, pulau ini mendapat namanya kerana banyak mayat-mayat terapung ditemui di pulau ini semasa perang antara British dan Jepun atau peperangan semasa zaman komunis dahulu. Ini mungkin kerana kedudukan dan bentuk pulau ini yang menjadi faktor tersekatnya benda terapung termasuk mayat.
Rumah mewah milik seorang pengusaha bot dan jet ski sewa.
Kemudian bot kami merentasi Jambatan Sultan Mahmud yang merentasi Sungai Terengganu dari Kg. Hiliran ke Batu Enam sepanjang 9 km.
Kemudahan yang tersedia pada tiang jambatan tidak disesiakan. Kelihatan di sebelah kiri itu adalah perangkap ketam dan di sebelah kanan ialah perangkap ikan.
Perusahaan membina bot milik kerajaan. Kelihatan bot-bot yang sudah siap menunggu kelulusan untuk digunakan.
Perusahaan membina bot persendirian.
Kemudian kami melalui Pulau Pasir dan Pulau Duyung di sebelah kanan. Pulau Pasir ini adalah antara 'penyumbang' terbesar pasir-pasir bagi membangunkan jirannya, Pulau Duyung. Pasir-pasir dari pulau ini telah disedut untuk menambak sebahagian Pulau Duyung bagi dijadikan resort bertaraf 5 bintang. Kini kebanyakan bahagian di pulau ini telah ditenggelami air. Pulau Duyung pula merupakan pulau yang terkenal di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Di sinilah tempat penganjuran Monsoon Cup yang cukup kontroversi kerana 'menelan' duit rakyat yang cukup besar dan tidak masuk akal semasa pemerintahan YB Dato' Seri Idris Jusoh antara tahun 2004 - 2008 dahulu. Isu pengambilan tanah rakyat, isu pekerjaan yang tidak disediakan untuk rakyat tempatan di sini, isu penganjuran Monsoon Cup itu sendiri yang dicemari dengan maksiat dan arak merupakan isu-isu yang terus tiada penyelesaian. Meskipun isu Monsoon Cup ini cukup sensitif, namun dalam masa setahun pemerintahan YAB Dato' Md. Said, Monsoon Cup masih lagi dianjurkan. Ia merupakan satu projek kerajaan yang cukup memilukan hati rakyat Terengganu ini.
Pulau Duyung dengan resort 5 bintangnya.
Di sebelah kiri pula kami melalui Kg. Hulu Takir. Kebiasaan penduduk di sini menggunakan bot penambang untuk ke Kuala Terengganu yang berada tidak jauh di seberang. Bagi mereka yang berada dan mempunyai kenderaan sendiri, mereka akan menggunakan kereta dengan jalan darat melalui Jambatan Sultan Mahmud. Bot penambang masih menjadi mata pencarian utama pemilik-pemilik bot penumpang di sini.
Bot-bot nelayan di Kg. Hulu Takir.
Bersebelahan dengan Kg. Hulu Takir ialah Kg. Seberang Takir. Ia dipisahkan dengan Kuala Terengganu oleh bahagian kuala Sungai Terengganu. Hari ini, oleh kerana banyak 'projek' dilakukan di sekitar perairan kuala sungai ini, maka kerajaan Terengganu telah membina pemecah ombak. Kini, perairan di Sungai Terengganu ini cukup tenang umpama tasik, dengan airnya yang jernih.
Projek sedut pasir di Kg. Seberang Takir bagi membina pemecah ombak yang masih belum siap sepenuhnya.Di sebelah kanan kami, sekali lagi kelihatan Resort 5 Bintang di Pulau Duyung. Kawasan sekitar ini merupakan kawasan bagi sukan Monsoon Cup.
Kelihatan Dataran Shahbandar di Bandaraya Kuala Terengganu yang memutih dengan khemah-khemah yang didirikan untuk tujuan-tujuan tertentu. Ketika ini terdapat ekspo jualan di sini.
Kelihatan Pasar Payang (bangunan panjang yang kehijauan) yang cukup famous sebagai salah satu destinasi yang 'wajib' dikunjungi bagi para pengunjung yang datang ke Kuala Terengganu.
Kemudian, bot kami berpusing ke kanan untuk kembali semula ke TTI. Dalam perjalanan itu, di sebelah kiri kami ialah pemandangan dari laut sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan di sebelah kanan kami ialah Pulau Duyung, Pulau Merdeka dan Pulau Ketam.
Menyebut tentang Kg. Cina, sebagaimana namanya kira-kira 98% penduduk di sini adalah kaum Cina. Di Kuala Terengganu ini, tumpuan penduduk Cina hanya di beberapa tempat sahaja seperti di sini, di Taman Perumahan Semerak, Kuala Nerus dan di Taman Sri Manir, Manir. Kaum Cina, meskipun kaum minoriti di sini, namun seperti lazimnya kaum minoriti ini cukup beruntung di Malaysia. Contohnya di Kg. Cina, semasa zaman Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar dahulu, kerajaan ada ura-ura untuk merobohkan rumah-rumah di sini bagi tujuan membangunkannya sebagai bandaraya dengan memberikan pampasan, namun kesatuan penduduk yang membantah menggunakan pelbagai saluran telah menggagalkan usaha itu. Kini, tiada lagi usaha-usaha seumpama itu, malah kerajaan berusaha memelihara dan mencatikkan kampung itu dengan pelbagai cara. Antaranya ialah naik taraf jalan seumpama tempat pelancungan di Eropah. Oleh kerana jalan di kampung ini sempit, maka kerajaan telah menambak laut untuk dijadikan jalan alternatif di sini. Akan datang, Kg. Cina akan menjadi sebuah kampung elit setelah projek membina jalan 'atas laut' itu selesai.
Projek sedut pasir sedang aktif berjalan bagi menambak laut di Kg. Cina untuk tujuan membina jalan 'atas air' sebagai jalan alternatif di sini.
Kelihatan bot penambang yang masih popular digunakan penduduk di sini sebagai salah satu kaedah pengangkutan yang mudah dan murah.
Pulau Merdeka yang pernah mencatatkan sejarah sebagai tempat Sambutan Hari Kemerdekaan suatu ketika dahulu. Kini pulau ini tiada berpenghuni.
Dari jauh kelihatan Bukit Besar yang terkenal terutama bila tiba bulan Ramadhan kerana letupan meriam dari sini sentiasa ditunggu-tunggu penduduk sekitar sini sebagai menentukan masuknya waktu berbuka dan imsak.
Hotel Felda Residence yang merupakan satu-satunya hotel yang dibangunkan oleh Felda di Malaysia setakat ini. Hotel ini bertaraf 3 bintang dan menjadi salah satu mercu tanda Bandaraya Kuala Terengganu dari arah laut.Restoran Payang Serai yang menyediakan masakan halal ala Siam dan China. Di sebelahnya ialah Taman Rekreasi Waterfront yang selalu dikunjungi oleh penduduk terutama di waktu petang.
Kelihatan bot-bot Maritim (kanan) yang mengawal perairan Laut China Selatan bagi zon ini.
Pusat pembinaan dan penyelenggaran kapal Marine Systems Engineering (Terengganu) Sdn. Bhd. (MSET) di Pulau Kambing.
Selepas mengharungi perjalanan 1 jam bersama TTI Cruise, maka kamipun sampailah kembali ke TTI. Dari sebelah sini, kami di'sambut' oleh Masjid Kristal yang menjadi kebanggaan pemimpin kerajaan zaman YB Dato' Seri Idris Jusoh. Masjid yang juga dipenuhi dengan kontroversi yang bernilai kira-kira RM40 juta ini telah dibina menggunakan kaca. Hanya ada 4 biji kristal sahaja di masjid ini iaitu di setiap tiang menara, di bawah struktur berbentuk bulat di bawah bulan sabit itu. Masjid ini mempunyai 2 orang imam yang bertugas secara bergilir-gilir bagi solat 5 waktu. Namun masjid yang boleh memuatkan seramai kira-kira 700 jemaah ini tidak digunakan untuk solat Jumaat setelah Majlis Fatwa Terengganu memberikan status masjid ini sebagai surau sahaja. Masjid ini telah mengalami beberapa kerosakan tetapi telah dibaiki dari masa ke semasa.
Dewan ini terletak bersebelahan dengan Masjid Kristal. Sebuah dewan konvensyen yang cukup luas dan boleh memuatkan sehingga 3000 peserta. Ia telah digunakan untuk Musabaqah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun 2008 yang lalu. Dewan ini boleh dibahagi-bahagikan dalam saiz yang lebih kecil dengan divider yang disediakan. Sewa dewan kecil ini adalah kira-kira RM3000 sehari termasuk makan dan minum kepada kira-kira 500 peserta.
Destinasi terakhir... pengkalan Tok Ku Paloh di TTI. Tiada kelihatan sebarang TTI Cruise di sini kerana kesemuanya keluar membawa pelancung.
Demikianlah sedikit coretan ringkas berkaitan dengan apa yang terdapat di sekitar Kuala Terengganu, Bandaraya Pesisir Air yang barangkali masyarakat Kuala Terengganu sendiri ramai tidak menyedarinya. Pengalaman ini mungkin boleh menjadi panduan berguna untuk mereka yang ingin 'melancung' menggunakan TTI Cruise yang boleh memuatkan 12 penumpang itu. TTI Cruise yang beroperasi 7 hari seminggu antara 10 pagi hingga 6 petang itu hanya mengenakan bayaran RM10 perkepala. Bagi kanak-kanak di bawah 7 tahun, mereka tidak dikenakan sebarang bayaran. Kepada mereka yang inginkan lebih privasi dan ingin menyewa berdua atau dalam bilangan yang kecil, mereka perlu membayar minimum RM40.00. 'Pelayaran' ini mengambil masa kira-kira sejam sahaja.Taman Monumen yang menempatkan 18 buah replika masjid tidak termasuk di dalam coretan ini kerana ia memerlukan sesi ziarah yang khusus dan penulisan yang agak panjang. Mungkin pada masa akan datang ianya akan dimuatkan semula dalam penulisan ini.
2 comments:
thank you for sharing..
info menarik..tq
Post a Comment