Thursday, May 28, 2009

Silibus PASTI perlu dikaji semula?

(Ibnul Munzir)

Saya mempunyai 5 orang anak. Empat daripadanya saya hantar ke Pasti di Daerah Kuala Terengganu ini. Tetapi yang kekal hanyalah dua orang iaitu yang pertama dan yang kedua. Kebetulan kedua-duanya ialah lelaki. Anak ketiga hanya sehari, anak keempat langsung tak mahu masuk Pasti dan yang kelima hanya bertahan 4 hari di Pasti. Mereka tak tahan di Pasti bukan kerana silibus, tetapi kerana masalah psychology... nak ikut adik-beradik.

Anak pertama dan kedua saya pandai membaca sebelum memasuki Pasti. Barangkali lantaran itu mereka sentiasa mendapat tempat pertama atau kedua dalam kelas di Pasti itu. Itu yang menyebabkan saya dan isteri tidak merasa apa-apa kelemahan dalam sistem pelajaran Pasti. Bila bawa balik buku-buku pelajaran ke rumah untuk semakan ibubapa, kami tidak mendapati sebarang masalah.

Sehinggalah pada tahun ini apabila anak saya yang kelima memasuki Pasti selama 4 hari, kami meminta buku-buku Pasti untuk dibawa balik ke rumah kerana semua bayaran telah kami jelaskan. Niat di hati adalah untuk mengajar anak saya itu di rumah agar tidak tertinggal pelajaran. Ketika ini barulah kami melihat betapa silibus pelajaran itu terdapat kelemahan ketara yang perlu dikaji semula.

Antara kelemahan yang ketara ialah kaedah membaca yang tidak tersusun. Saya tidak pasti apakah kaedah ini pernah dikaji atau diambil begitu saja dari mana-mana buku untuk melengkapkan silibus. Bila bertanya dan berbincang dengan beberapa orang guru Pasti, sememangnya murid-murid Pasti menghadapi kesukaran untuk menguasai pembacaan dengan semata-mata kaedah yang digunakan sehingga ada guru yang terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk mempelajari kaedah lain demi kepentingan anak-anak di Pasti. Ada juga anak-anak di Pasti ini yang mengikuti tuisyen membaca pada sebelah petang di pusat tuisyen swasta selama sejam bagi membolehkan mereka cepat membaca.

Saya ada seorang kawan yang bekerja sebagai doktor swasta di mana anaknya yang berusia 5 tahun telah belajar di Pasti selama lebih kurang setahun, namun tidak pandai membaca. Tahun ini beliau terpaksa menukarkan anaknya ke sekolah swasta meskipun bayarannya 6 kali ganda lebih mahal!

Masalah kedua ialah penekanan matapelajaran lain sebelum mereka dapat membaca. Ini bukan akan menambahkan ilmu kepada anak-anak kecil itu sebaliknya akan menambahkan kekeliruan di dalam minda anak-anak dan menyebabkan mereka semakin tidak berminat belajar kerana mereka rasa susah. Perlukah anak-anak kecil itu ditekankan dengan matapelajaran sains dan matematik sedangkan membacapun mereka tidak tahu? Apakah sebenarnya yang diharapkan oleh ibubapa terhadap anak-anak pada usia itu? Bagi saya sebagai seorang bapa, tidak lain dan tidak bukan ialah inginkan mereka dapat membaca dan mengaji al-Quran.

Allah swt telah mengajar Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) pada wahyu pertamanya dengan Iqro' bismirobbikalladzi kholaq...bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha menjadikan. Bukankah ertinya MEMBACA itulah yang perlu didahulukan? Dan setiap pelajaran itu perlu dimulakan dengan menyebut nama Allah?

Anak kelima saya yang kemudiannya diajar dengan kaedah membaca yang cukup efektif (yang telah membantu kesemua anak-anak saya membaca sebelum memasuki pra-sekolah 6 tahun) telah dapat menguasai pembacaan hanya dalam masa 2 minggu! Itupun ibunya hanya mengajarnya lebih kurang 30-45 minit saja sehari semasa rehat pukul 12.45 tengahari. Mengapa Pasti tidak menggunakan kaedah yang sama dan mensasarkan target agar anak-anak yang belajar di Pasti dapat membaca dalam masa 3 bulan? 3 bulan seterusnya anak-anak dapat menguasai membaca al-Quran pula? Seterusnya dalam 4 bulan berikutnya (sebelum cuti akhir tahun) barulah menekankan pelajaran-pelajaran lain seperti matematik dan sains yang sangat asas seperti menghafal sifir dan kira-kira mudah? Bukankah masa persekolahan di Pasti yang selama 2 - 3 jam itu lebih dari mencukupi? Semua target boleh dicapai sekiranya mereka boleh membaca kerana asas semua ilmu-ilmu itu adalah membaca.

Saya melihat, pusat-pusat tuisyen cepat membaca swasta yang mengenakan yuran begitu tinggi itu mampu melahirkan anak-anak yang mampu membaca dalam masa 3 bulan dengan mengambil masa sejam saja sehari. Sehingga baru-baru ini, seorang anak berumur 9 tahun yang tidak tahu membaca di sekolah kerajaan, mampu membaca dalam masa sebulan menggunakan kaedah yang sama.

Kaedah membaca yang digunakan ini bukan satu kaedah yang ajaib. Buku-bukunya telah berada di pasaran sejak lebih 10 tahun yang lalu. Dengan berpandukan buku-buku itupun ibubapa mampu mengajar anak-anaknya membaca. Begitulah yang kami lakukan kepada anak-anak kami. Cuma isu utamanya ialah, apakah Pasti bersedia untuk mengkaji semula silibus mereka?

2 comments:

Anonymous said...

salam doktor,

saya rasa silibus sudah ok, mungkin sebab latar belakang pendidikan sesetengah guru pasti itu sendiri, cara penyampaian dan pengajaran...

wallahu a'lam

Anonymous said...

Assalamualaikum...
Sy guru PASTI yg baru masuk untuk mengajar...Saya menyokong seratus % apa yang tuan katakan dan mohon maaf bagi pihak PASTI...
Untuk silibus PASTI saya melihat ia terlalu tinggi untuk anak-anak ditambah pula lagi guru tidak mahir akan kaedah dan teknik yang sesuai untuk ajar pada anak - anak dan membebankan lagi anak-anak... saya baru masuk bulan 8 kerja,anak- anak masih tidak mengenal huruf,nombor bahkan malaikat... meskipun guru ada mengajar,kelihatan ada sesuatu kekurangan... huruf dan nombor masih gagal untuk kenal bagaimana untuk membaca... silibus buku,kaedah yg di guna pakai,jadual mengajar,haruslah d kaji semula... tidak boleh main tangkap muat... saya sejujurnya susah hati, dan sedang berusaha untuk belajar dan mencari teknik untuk d aplikasikan kepada anak-anak... lagi satu saya sarankan bilangan guru untuk di setiap PASTI minimum 3 org.. 4tahun, seorg guru,.. 5 tahun seorg guru, 6 tahun seorang guru...supaya lebih fokus dan menepati sasaran... jangan di campur... level tidak sama,bila campur pasti akan ada yg tercicir.

Mohon maaf luahan dr seorang guru yg baru bertugas selama 2 minggu...
Yang baik ambil jd pedoman,yg buruk kita usaha baiki...

Wallah hu alam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...