Wednesday, May 27, 2009

Ke mana Husam Musa jika tewas Timbalan Presiden?

(Ibnul Munzir)

Pertandingan Timbalan Presiden PAS yang dijangka sengit dengan persaingan antara 3 calon yang terkenal dalam PAS iaitu YB Ust. Hj. Nasharuddin b. Mat Isa (penyandang), Tuan Hj. Mohamad b. Sabu dan YB Tuan Hj. Husam b. Musa akan berlaku dalam Muktamar Pas Pusat pada 4-6 Jun ini setelah pencalonan mereka disahkan beberapa hari lalu. Namun pemerhati melihat, 2 daripada mereka yang tewas akan kembali ke kerusi AJK Pas Pusat sahaja. Itupun jika mereka dilantik sebagai AJK atau memenangi undi yang melayakkan mereka untuk menjadi AJK.

Bagi YB Tuan Hj. Husam b. Musa, beliau dilihat calon yang sangat terkehadapan untuk menyaingi penyandang sebelum ini YB Ust. Hj. Nasharuddin b. Mat Isa memandangkan karektornya yang selalu menonjol samada di media UMNO/BN ataupun media PAS sendiri. Beliau merupakan pemimpin dan wakil rakyat yang cukup konsisten meskipun berhadapan dengan pelbagai dugaan samada di luar dan dalam parti sendiri. Beliau seorang yang berwawasan selain mempunyai kredibiliti pentadbiran yang cukup berkesan.

Meskipun begitu, risiko untuknya tewas di tangan YB Ust. Hj. Nasharuddin b. Mat Isa tetap tinggi kerana dilihat dari pencalonan yang tertinggi, anak didik Almarhum Ust. Fadzil b. Mohd. Noor yang mempunyai keupayaan bercakap dalam pelbagai bahasa dan cukup low profile itu adalah dikategorikan dalam golongan ulamak. Beliau tidak begitu menonjol lantaran media kurang membuat liputan terhadap beliau. Namun kerja-kerja jemaah dan parti cukup menonjol kerana kerja-kerjanya adalah terlibat dalam memperkasakan parti dari sudut tarbiyah. Kalau dilihat dari sudut kelulusan formalnya dan kerja-kerja kepartiannya, beliau adalah calon favourite untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden untu penggal yang ketiga ini.

Sekiranya YB Tn. Hj. Husam b. Musa itu tewas sedangkan beliau tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden, maka beliau akan 'turun pangkat' dalam harakah kepartian PAS dengan menjadi AJK PAS Pusat. Dengan kredibiliti, wawasan dan kebolehan beliau, agak sayang jika beliau hanyalah sebagai AJK PAS Pusat. Meskipun dalam kerja-kerja Islam ini, pangkat tidak penting, namun peranan pemimpin tetap penting untuk menjadi penggerak perjuangan. Sekiranya beliau tidak lagi menjadi Timbalan Presiden, kalau tak kena gaya, karier politik beliau boleh malap.

Walau bagaimanapun kita berharap, biar sesiapa sajapun yang menjadi pemimpin, itu merupakan kehendak Allah untuk mencorak jemaah Islam PAS ini bagi mencapai kemenangan dalam dakwah dan politik di Malaysia yang kini menjadi parti harapan kepada umat Islam bukan saja di Malaysia tetapi di rantau ini. Kita merancang... sesungguhnya perancangan Allah itu lebih baik lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...