(Ibnul Munzir)
Sebelum memanjangkan tulisan ini, saya ingin mengingatkan satu pesanan dari Al Ustaz Muhammad Mahdi Akif, Mursyidul 'Am Ikhwanul Muslimin yang menyatakan; "Ikhwan Muslimin tidak bekerja melainkan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t." Pesanan itu cukup ringkas untuk menggambarkan akidah perjuangan kita sebagai pendokong gerakan Islam.
Untuk mendapat keredhaan Allah SWT, bukanlah melalui jawatan yang besar-besar dalam gerakan, bahkan banyak yang berlaku jawatan itu hanya akan memerangkap dirinya untuk lebih jauh dari Allah SWT. Meskipun bagi mereka yang berkemampuan ianya adalah dialu-alukan bagi maslahat umat Islam. Namun matlamat akhir yang paling besarnya adalah keredhaan Allah SWT.
Kalau pejuang gerakan Islam itu inginkan jawatan dengan berdasarkan perkara-perkara teknikal yang terdapat dalam perlembagaan PAS, ingatlah bahawa perlembagaan PAS itu boleh berubah dan kalau ini yang dijadikan sandaran, maka jangka hayat PAS sebagai sebuah gerakan Islam tidak akan kekal lama. Apa yang perlu diingat ialah perjuangan Islam itu mestilah berdasarkan roh yang diperjuangkan oleh gerakan Islam itu iaitu gerakan yang setiap masa berada di atas landasan syara' dalam usaha menegakkan negara yang penuh barakah dan rahmah.
1. Kepimpinan adalah mengikuti syarak.
Apabila kita telah jelas tentang matlamat perjuangan kita adalah untuk keredhaan Allah dan akhirat, dan kita jelas bahawa kesinambungan gerakan Islam itu adalah berdasarkan roh perjuangannya, maka jelaslah bahawa gerakan perlu dipimpin oleh mereka yang selayaknya.
Persoalannya, siapakah yang layak memimpin? Bagaimanakah ciri-ciri mereka yang layak meneruskan kesinambungan ini?
Pertama, mestilah mereka seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS. Ya... ini adalah syarat untuk menjadi Ahli Majlis Syura Ulama' yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 ceraian 4 (Pindaan 2002). Meskipun kita melihat tidak disenaraikan syarat seumpama ini untuk menjadi Presiden dan Timbalan Presiden, maka sayugia kita maklumi bahawa tugas Presiden, seperti Pemandu kepada sebuah bas Gerakan Islam, sudah tentu dikehendaki mempunyai lesen yang sesuai dengan bas itu sendiri.
Kedua, ia mestilah seorang pejuang haraki Iaitu seorang yang menerima tarbiyah gerakan sekurang-kurangnya dari PAS sendiri. Seorang yang hebat dari segi ilmu dan kebolehan memimpin semata-mata belum boleh menerima lesen penuh untuk menjadi pemandu gerakan Islam ini. Ini kerana perjalanan gerakan ini mempunyai jalan yang cukup berliku dan penuh dengan tipudaya. Politik yang dilalui oleh gerakan Islam adalah sangat berbeza dengan politik kotemporari yang lain dan seseorang pemimpin gerakan itu perlu sentiasa memakai 'pakaian keselamatan' dan itulah ilmu haraki. Ya... memang ada orang akan mengatakan; "Tidak mengapa bukan pejuang haraki tulin pun... bukankah mereka diperhati oleh Majlis Syura dan sahabat-sahabat yang bertaraf ulama' haraki. Mereka akan sentiasa menerima teguran dan nasihat". Tetapi masalahnya ialah stereng bas ada pada dia, brek pun ada dia, kalau ternampak seketul batu tengah jalan, depan ada lembu nak melintas, hanya pemandu saja yang sempat berfikir untuk mengelak atau memberhentikan bas. Itulah ibaratnya.
Sebagai contoh dalam kes besar yang berlaku akhir-akhir ini seperti muqabalah, kerajaan 16 September dan Kerajaan Perpaduan. Ia bukan isu kecil yang mudah. Bagaimana strategi yang telah dirancang oleh Presiden dengan kajian dan rujukan melalui pemahaman dalam al-Quran, hadis, seerah dan qias. Bagaimana dengan cepat Presiden menjawab pertanyaan wartawan yang perlu disesuaikan dengan Gerakan Islam agar tidak mengguris hati sesiapa dalam hal muqabalah. Bagaimana strategi Presiden dalam menghalang kenaikan Najib untuk menjadi PM kerana rekod yang ganas dan buruk berbanding Pak Lah sendiri melalui Kerajaan Perpaduan di mana manfaatnya kembali kepada Islam dan rakyat. Apakah ini semua mampu dilakukan oleh ilmuawan dan pemimpin semata-mata?
2. Mursyidul Am dan Presiden.
Mursyidul 'Am, meskipun secara hairakinya adalah yang paling tinggi dalam organisasi PAS kerana dia adalah Pengerusi Majlis Syura Ulama', namun tugasnya adalah bagi memastikan kerja-kerja yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kerja PAS PUsat itu selaras dengan roh gerakan Islam. Presiden adalah Pengerusi kepada JK Kerja Pas Pusat yang memainkan peranan menggerakkan organisasi ini bagi mencapai matlamatnya. Kalau diibaratkan bas gerakan Islam tadi, Presiden adalah pemandu, sedangkan Mursyidul 'Am adalah pemilik syarikat bas itu. Kalau syarikat bas kata kena ikut jalan itu, maka bagaimana caranya untuk ikut jalan itu perlu dilakukan oleh si pemandu tadi.
3. Timbalan Presiden.
Timbalan Presiden adalah orang yang akan menjalankan tugas-tugas Presiden apabila ketiadaan Presiden.Kalau ditakdirkan kerusi Presiden kosong, maka automatik Timbalan Presiden akan menjadi Presiden. Bolehkah Timbalan Presiden memandu tanpa lesen penuh? Oleh itu jelas, kenyataan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat itu sesunggunya berasas dan bukan berdasarkan hawa nafsu, tetapi setelah mengkaji dan menyesuaikannya dengan roh gerakan Islam bahawa Presiden dan Timbalan Presiden mestilah mereka yang dicirikan sebagai ulama'.
4. Naib-Naib Presiden
PAS tidak pernah meminggirkan mereka yang berkeupayaan. Apatah lagi setiap orang mempunyai kebolehannya sendiri dan semua ini boleh dimanfaatkan untuk kebaikan ummah. Di dalam PAS, ramai mereka yang berkebolehan memimpin. Tetapi tidak semua pemimpin itu layak menjadi Presiden atau Timbalan Presiden bagi sebuah Gerakan Islam seperti PAS. Tetapi mereka tetap mampu berperanan sebagai pemimpin utama sebagai Naib Presiden. Pas telah menyediakan 3 kerusi Naib Presiden yang masing-masing memegang potfolio sendiri. Gunakanlah sepenuhnya peranan ini sekiranya mereka ini layak untuk menjadi Naib Presiden. InsyaAllah, keikhlasan itulah yang terpenting untuk mendapat keredhaan Allah dan syurga di akhirat sebagai hadiah paling tinggi dari Allah SWT.
5. Ulama' ikhwan.
Saya pernah terbaca mereka yang mempertikaikan kenyataan Ketua Dewan Ulama' PAS PUsat, Ustaz Dato' Mohamed Daud Iraqi agar Presiden dan Timbalan Presiden terdiri daripada ulama', dengan mengatakan pemimpin Ikhwan bukan ulama' pun. Perlu disedari bahawa sistem pendidikan dan pendedahan pelajaran al-Quran dan Islam di negara-negara Arab adalah tidak sama dengan negara kita. Meskipun mereka sebagai guru biasa dan berpendidikan formal secara secular, tetapi mereka hafal al-Quran, menguasai ilmu-ilmu Islam yang lain sehingga mereka mampu mengistinbat hukum. Jadi, kenyataan mereka bahawa pemimpin Ikhwan bukan ulama' adalah tidak berasas sama sekali.
4 comments:
Benarkah Presiden mesti ikut kata mursyidul am? ana merujuk pada perumpamaan pemilik syarikat dan pemandu bas...
Bagaimana pula elemen persepsi Tokguru sebagai juru cakap Pas. Adakah kerana itu fungsi jawatan sebagai M.A atau kerana ketokohannya. Sbb Timb. M.A tak pula dipersepsikan sebagai jurucakap pas???
Salam ..
Saya sokong Dr, tp malangnya ramai yang tidak faham tentang perkara ini.
Sukar untuk dijelaskan dengan pena kerana ia adalah sesuatu melibatkan roh dan keberkatan.
To Khairul Afnan Khalid
Syukran di atas response.
Sebagai pemimpin, selagi arahannya tidak melanggar hukum Allah, dia wajib ditaati. Oleh itu, Presiden adalah wajib mentaati arahan dan nasihat Mursyidul Am (MA) kerana dalam PAS MA adalah pemimpin tertingginya.
Tiada jurucakap dalam PAS. Semua orang boleh bercakap dan bersuara. MA menjadi tumpuan media kerana kelebihannya dan bila didatangi oleh wakil media, maka dia perlu menjawab setiap soalan yang dikemukakan.
To IbnAsmuni
Syukran atas response.
Anta sebagai peguam muda kan.... InsyaAllah pemuda seperti anta amat diperlukan dalam perjuangan ini. Orang yang faham seperti anta merupakan aset Islam di Malaysia dan di dunia ini amnya.
Tahniah.
Post a Comment