(Ibnul Munzir)
Arakan: Masjid dan seluruh kampung dibakar! |
Allah telah menyusun sesuai dengan kehendak-Nya. Kezaliman itu berlaku (diketahui berlaku) serentak dengan sidang Parlimen. Apa salahnya mengambil masa sedikit untuk membincangkan cara mana Malaysia dapat membantu umat Islam Rohingya. Kita bersatu atas nama Islam. Atas nama kemanusiaan. Mengapa usul ini ditolak? Kerana tidak menjadi projek yang dapat mengaut keuntungan? Kerana takut dengan ancaman Amerika? Atau kerana iman sudah hilang dari dalam dada? (wal'iyazabillah).
“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (HR Bukhari)
Daripada Tsauban r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda; “ Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah sahabat bertanya “ Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab,” Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan’. Seorang sahabat bertanya,” Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” (H.R Abu Daud)
“Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa': 75)”
Lihat juga berita di sini.
Kenyataan Media MAPIM
22 hb Jun 2012
USUL ROHINGYA DITOLAK DI PARLIMEN AMAT DIKESALI - PENDERITAAN ROHINGYA YANG SEBENAR TIDAK DILAPOR
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM ) kesal usul yang diutarakan oleh YB Datuk Kamruddin Jaafar mengenai Isu Rohiingya telah ditolak di Parlimen baru-baru ini. Ini jelas menunjukkan pihak Speaker Dewan tidak memberi perhatian serius terhadap penderitaan yang dialami oleh Etnik Rohingya. Padahal apa yang sedang dideritai oleh warga Rohingya sangat berat dan berkait dengan kestabilan serantau.
Kami juga amat menyesali berita penderitaan dan skala penghapusan etnik Rohingya yang kini berlaku di Wilayah Arakan (sekarang digelar Rakhine), Myanmar tidak dilaporkan dengan tepat oleh media antarabangsa.
Berdasarkan testimoni lisan dari pelarian Rohingya yang ada di Malaysia yang dapat berhubung langsung dengan saudara mara mereka di Myanmar, keadaan sangat berat dan parah.
Laporan berat sebelah disiarkan oleh media antarabangsa seolah warga Rohingya adalah pencetus kepada rusuhan yang kini sudah berlarutan lebih dari dua minggu. Padahal warga Rohingya adalah mangsa yang jelas menanggung penderitaan yang lama iaitu sejak kemerdekaan Myanmar pada 1948 lagi. Mereka sebenarnya menjadi mangsa menunggu diserang pada bila-bila masa oleh etnik Rakhine yang bekerjasama dengan polis dan tentera Myanmar.
Sejak insiden terkini tercetus pada 3 hb Jun 2012, media antarabangsa melaporkan hanya 50 orang yang mati. Padahal mayat ribuan Rohingya yang dibunuh telah diambil oleh polis sehingga media tidak dapat melaporkan bilangan yang tepat.
Kami juga diceritakan mengenai kes polis menyerbu rumah, menangkap anggota keluarga ikut suka, membawa mereka keluar dan hilang sehingga sekarang. Insiden rogol dan bunuh anak gadis oleh polis juga dilaporkan oleh ahli keluarga Rohingya di Malaysia.
Lebih malang laporan media membayangkan orang Rohingya menjadi dalang pencetus ketegangan yang terbaru ini.
Soalnya bagaimanakah warga Rohingya yang dikenakan pelbagai tekanan seperti tidak boleh bergerak bebas, tidak boleh memilikki telefon bimbit, tidak boleh keluar rumah, boleh melakukan keganasan pada skala yang sangat serius sehingga sekarang.
MAPIM memantau melalui berita yang kami perolehi secara langsung dari rakyat Rohingya dari Arakan , laporan dari pelarian Rohingya di Malaysia dan beberapa NGO hak asasi manusia di rantau ini.
Setakat ini puluhan ribu sudah dijangka dibunuh secara kejam. Mengulangi kembali penyembelihan 100,000 orang Rohingya yang dibunuh pada tahun 1945 oleh tentera dan puak estremis etnik Rakhine.
Berita bahawa berlaku pembakaran masjid dan madrasah juga disampaikan kepada MAPIM. Laporan terkini yang MAPIM terima dari Akyab ( Sittwe ), ibu negeri wilayah Arakan, ialah sebanyak 21 buah masjid dibakar di 16 buah kampung. MAPIM dibekalkan nama-nama kampung berkenaan. Malah MAPIM telah menerima laporan kejadian keganasan etnik Rakhine bersama polis di setiap perkampungan yang diserang.
Arahan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa bahawa warga Rohingya tidak dibenarkan menyembahyangkan jenazah serta juga tidak dibenarkan Solat Jumaat.
Dalam keadaan yang sudah sedia parah dan azab ini, MAPIM mengecam tindakan pihak berkuasa Bangladesh pula menutup sempadan Arakan-Bangladesh. Kini puluhan ribu lagi warga Rohingya cuba menyelamatkan diri melalui puluhan bot untuk menyeberang sungai untuk masuk Bangladesh. Bot dimuat dengan kanak- kanak, wanita, orang tua yang uzur, mereka yang cedera. Ramai yang dilapor mati kerana kebuluran dan tidak mendapat rawatan ketika melarikan diri.
MAPIM mengesa delegasi Khas dari ASEAN dan PBB serta OIC hendaklah segera dihantar ke Arakan untuk menilai keadaan. Tekanan kepada Myanmar hendaklah dilakukan untuk memelihara hak asasi manusia minoriti Rohingya dan yang lain .
MAPIM mengumumkan sedang berusaha untuk menghantar delegasi NGO Malaysia untuk Misi kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin. Kami memutuskan untuk menimbangkan kemungkinan untuk menghantar sebuah kapal kemanusiaan melalui laut bagi menyalurkan bantuan makanan dan ubatan serta khemah pelarian.
Oleh kerana itu jika keadaan
tidak bertambah baik, MAPIM tidak ada pilihan selain dari menghantar
sukarelawan untuk mendesak kerajaan Myanmar memberi laluan untuk
bantuan dibawa masuk ke Arakan .
Setiausaha Agong MAPIM
No comments:
Post a Comment