Thursday, June 21, 2012

Bersatu jaga aset negara: PM

(Ibnul Munzir)

Ulasan Ibnul Munzir terhadap berita di bawah:

Tajuk ucapan PM di bawah sangat tepat. Namun kestabilan politik yang semakin rapuh ini juga angkara orang yang sama, kerajaan UMNO/BN pimpinan PM sendiri. Siapa yang menyekat kebebasan bersuara di Malaysia sehingga duduk di rangking ke 143 dari 196 negara di dunia? BN. Bukti? Berapa banyak slot yang diperuntukan untuk PR di TV milik rakyat (RTM)? Hampir 0%. Apatah lagi menjelang pilihanraya seperti sekarang. Bukankah ini mengancam kestabilan politik? Sudah tentu ya.

Siapa yang menyekat ceramah politik? Kerajaan UMNO/BN. Bukti? Tak payah sebut di sini, terlalu banyak. Sama ada menyekat permit atau mengganggu ceramah. Apakah media yang ada pada pembangkang selain ceramah? Nak harapkan Harakah atau Suara Keadilan? Berapa kali suratkhabar ini boleh keluar dalam seminggu? 2 kali. Utusan Malaysia dan Berita Harian 'milik UMNO' berapa kali? Tiap-tiap hari. Bukankah ini suatu sekatan yang terang dan nyata? Untuk apa disekat? Untuk menyekat maklumat dari sampai kepada rakyat. Apa jadi kalau maklumat sampai kepada rakyat? Rakyat akan faham penyelewengan dan kebobrokan kerajaan UMNO/BN dan menolak mereka. Bukankah ini tindakan yang akan menjejaskan kestabilan politik? Sudah tentu ya.

Siapa yang mengganggu dan menghuru-harakan perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih? Kerajaan UMNO/BN. Bukti? Tak perlu bukti 300,000 orang sudah tahu. Sayapun berada di tengah-tengah mereka yang menderita terkena gas pemedih mata. Kenapa perlu diganggu? Supaya jadi kacau-bilau. Peserta himpunan jadi marah dan membuat kerosakan. Ini akan dijadikan kempen bahawa perhimpunan itu tidak aman. Perhimpunan itu kotor. Siapakah yang melakukan provokasi ini? Kerajaan UMNO/BN. Apakah ini akan mengancam kestabilan negara? Sudah tentu ya.

Siapa yang membuat fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)? Kerajaan UMNO/BN. Sampai 2 kali kes ini dibawa tetapi DSAI tetap menang. Ini bererti ini hanyalah usaha fitnah semata-mata. Bukankah ini cara yang merbahaya kepada kestabilan politik? Sudah pasti.

Siapa yang merompak harta negara? Kalau disenaraikan kes terbaru yang masih belum dijelaskan kepada rakyat, Shahrizat Jalil RM250 juta, Tajuddin Ramli RM380 juta. Kementerian Pertahanan (di bawah Dato' Seri Najib) dalam pembelian scorpene RM500 juta. Jumlah RM1.8 billion. Duit siapakah ini? Ini baru 3 kes.. Bagaimana kes-kes yang sebelum-sebelum ini? Kes yang melibatkan wang Petronas, wang KWSP, wang zakat, wang Lembaga Tabung Haji dan lain-lain? Ini semua kes apa? Kes rasuah. Apakah ia boleh mengancam kestabilan politik? Sudah pasti.

Bagaimana pula dengan kes pembunuhan yang terancang? Contohnya kes Altantuya, kes Ahmad Sarbani, kes Teoh Beng Hock, Kes Kugan dan sebagainya? Ini kes apa? Kes jenayah. Siapa yang terlibat? Kalian jawab sendiri... Bukankah semua yang saya nyatakan secara ringkas ini mengancam kestabilan politik negara? Tak perlu lagi saya jawab. Kalian sudah tahu sendiri.

Oleh itu, siapa yang cakap tapi tak buat? Pemimpin UMNO/BN sendiri. Siapa yang teraniaya? Kita semua dan seluruh rakyat Malaysia. Duit kita dirompak, kebebasan kita disekat, keselamatan kita terancam... Semua itu sangat mengganggu kestabilan politik dan mengancam keselamatan negara.

Bolehkah pemimpin seperti ini dibenarkan terus menguasai politik negara? Anda jawab sendiri dan pilihan anda pada PRU13 nanti akan dipersoalkan di hadapan Allah yang Maha Mengetahui. Anda fikirkanlah. Buatlah perubahan demi kestabilan politik yang sebenar dan kemakmuran Malaysia.

 Berita Harian Online


2012/06/21
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman
dengan ahli-ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan
Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sebelum
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM
Ke-66 di Kuala Lumpur

Kestabilan politik tingkat keyakinan pelabur dalam pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Kekayaan dan aset negara yang dikumpulkan selama ini akan terhakis jika semua pihak enggan bekerjasama untuk menjaga kestabilan dan kepastian politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tanpa kestabilan politik, negara akan berhadapan ancaman terutama terhadap kekayaan dan aset yang selama ini memberi manfaat kepada semua.

Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik. - Datuk Seri Najib Razak
Sehubungan itu, usaha perlu diperhebatkan untuk mengubah senario perniagaan dan keyakinan terhadap pasaran negara supaya dapat bertahan dan mengharungi suasana ekonomi global yang tidak menentu.

“Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-66 Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng Heng Jem; timbalannya, Datuk Lim Kok Cheong dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Ter Leong Yap.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kestabilan dan kepastian politik tetap menjadi faktor utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam perniagaan dan pasaran domestik

Katanya, krisis ekonomi Barat hingga mengakibatkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah serta ketidakstabilan dan ketidakpastian politik yang memberi impak kepada Afrika Utara, harus dijadikan iktibar.

“Sebarang unsur ketidakstabilan atau ketidakpastian boleh membawa risiko perniagaan yang lebih besar, mengurangkan pelaburan langsung asing dan menjatuhkan nilai saham jatuh.

“Malah, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mengukuhkan daya saing produk dan perkhidmatan, selain meraih peluang baru di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport,” katanya.

Najib juga meletakkan sektor swasta pada kedudukan penting untuk memastikan daya tahan negara diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran dan perubahan dalam ekonomi global.

Katanya, penyertaan mereka penting bukan saja bagi membolehkan Malaysia meneruskan transformasi, malah memastikan perubahan sebenar dilaksanakan.

Sementara itu, Heng Jem yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas sembilan tahun menerajui ACCCIM, mahu kerajaan memastikan kadar gaji minimum yang munasabah dan tidak membebankan majikan hingga mengakibatkan syarikat ditutup.

Katanya, kajian lebih menyeluruh perlu, selain melaksanakan keputusan itu secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada kerajaan serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau juga berkata, peningkatan kos pengeluaran diberi perhatian serius di dalam kalangan pelabur asing yang berminat dengan Program Transformasi Ekonomi yang dirangka kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad perlu memikirkan langkah terbaik mengurangkan kos menjana tenaga elektrik, selain harga gas untuk menyokong industri tempatan.

Beliau juga berpendapat, peruntukan sebanyak RM20 bilion untuk makanan dapat dikurangkan jika kerajaan meningkatkan penggunaan tanah untuk pertanian dan penternakan kerana setakat ini hanya 2.8 juta hektar tanah digunakan daripada 6.7 juta hektar untuk tujuan itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...