Thursday, October 29, 2009

Mesyuarat Khas perlu diadakan lebih kerap?

(Ibnul Munzir)

Saya terharu dengan kenyataan Badan Perhubungan PAS Selangor yang saya kira cukup ikhlas dalam perjuangannya. Apabila Mesyuarat Khas JK PAS Pusat memutuskan untuk menyiasat mereka, mereka bersetuju dan bersedia untuk disiasat serta-merta. Cuma untuk lebih adil biarlah mereka yang membuat tuduhan turut sama disiasat jika tuduhan yang dibuat tidak benar.

Saya kira inilah antara kejayaan Mesyuarat Khas yang diadakan. Apabila seluruh pimpinan dikumpulkan, maka wehdatul fikr dapat diwujudkan. Seluruh idea dan pendapat yang bercabang-cabang itu dapat digembleng dan diluruskan menjadi seia sekata. Bagi saya yang kerdil ini merasakan apa salahnya jika JK PAS Pusat lebih kerap melakukan mesyuarat khas seperti itu tidak kiralah apa namanya, apabila wujud desas-desus yang menunjukkan adanya pandangan-pandangan (besar) yang berbeza di kalangan pimpinan. Tidaklah sampai suhu hampir mencecah 100 darjah Celcius baru kelam-kabut. Jika ini dapat dilakukan, InsyaAllah PAS akan lebih gagah dalam menempuh jihad dan perjuangan bagi menuju Malaysia Baru.

Di bawah adalah kenyataan Badan Perhubungan PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

2 comments:

Md Nasir@Nasiri said...

pimpinan kita kenalah utilized teknolgi yang ada sekarang untuk berhubung antara satu sama lain..kalau pun sukar untuk buat special meeting, tak kan tak boleh berhubung direct antara satu sama lain, dgn teknologi yg sedia ada skrg..at least suhu tu tak la sampai tahap pemeluapan..:)

Damitri said...

Salam...

AlaikumulJamaah..alhamdulillah itu lah satu keputusan yg syura telah diputuskan...sama-sama kita berdoa semoga parti ISLAM teruskan berjuangan...jangan lah kita terikut rentak parti yang hendak menghancurkan ISLAM..TAKBIR!!! ALLAHUAKBAR!!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...