Thursday, July 9, 2009

Tarbiyah PAS Tidak Bermaya? (II)

(Ibnul Munzir)

"PAS tidak ada tarbiyah". Kata seorang sahabat jemaah lain semasa di kampus dahulu.

"Jangan cakap pasal negara Islam jika tarbiyah belum sempurna". Kata seorang pendokong jemaah yang lain pula.

"Mana dia tarbiyah yang selalu dilaung-laungkan itu? Asyik berpolitik saja siang-malam!" Kata seorang anak muda yang berjiwa Islamik juga.

"PAS dok ghok! Tarbiyah PAS dok ghok!" Kata-kata sahabat cawangan yang cukup menyentak hatiku (dari tulisan pertama) sedangkan usrahpun dia jarang-jarang sekali hadir.

Agak tergugat juga untuk menjawab kekeliruan seperti ini dalam masa yang singkat. Bukan mudah juga untuk memberi kefahaman bagaimana tarbiyah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membentuk keperibadian sahabat. Apatah lagi dalam kondisi diri ini yang bukan berada pada 'kufu' yang sepatutnya berbanding para ilmuawan Islam yang berada di luar sana.

Namun, bagi mencabar diri ini terhadap kefahaman yang ada, saya harus berupaya mengupas tarbiyah dari sudut kefahaman seorang insan biasa lantaran majoriti mad'u adalah berada pada tahap ini. Mudah-mudahan pandangan ini dapat dikongsi bersama bagi mencerahkan jalan yang samar dan meluruskan jalan yang bengkok.

Memahami makna tarbiyah yang luas
Secara umumnya maksud tarbiyah ialah mendidik dan membentuk seseorang. Tarbiyah Islamiyah (sebagaimana yang dibincangkan ini) bermaksud membimbing seseorang untuk menjadi seorang muslim yang mukmin.

Semasa kita kecil, ibubapa kita mengajar berbagai-bagai perkara agar kita menjadi anak yang boleh bercakap, berjalan, makan sendiri, mandi sendiri dan lain-lain agar menjadi anak yang baik. Kemudian kita dihantar ke sekolah untuk belajar membaca, menulis, mengira dan berbagai lagi pelajaran sehingga ada yang masuk ke universiti, mendapat master, PHD dan lain-lain. Dalam perjalanan usia itu banyak perkara yang kita juga belajar daripada pergaulan, pengalaman, kesalahan, kritikan malah kadangkala pergaduhan dengan kawan-kawan juga memberikan pelajaran berguna kepada kita. Semua peristiwa samada yang kita perolehi secara formal atau tidak itu telah membentuk peribadi kita hari ini. Fahamilah bahawa semuanya itu merupakan tarbiyah yang berlaku yang menjadikan kita seorang insan.

Allah mengurniakan kita akal fikiran. Allah juga memberikan kita hidayah untuk menemui keindahan cara hidup Islam. Dengan akal fikiran itu kita menilai dan membezakan yang baik dan yang buruk. Kita membezakan yang Islami dan tidak Islami. Kita dapat mengerti tuntutan sebagai seorang Islam dan sebaliknya seterusnya kita dapat membezakan amalan ahli syurga dan amalan ahli neraka pula. Maka peringkat ini tarbiyah Islamiyah telah menyusup masuk mengubah hati dan minda kita.

Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah Islam yang syumul. Islam sehingga Yaumul Akhirah. Islam yang bukan untuk sesetengah bangsa dan zaman sahaja. Tetapi Islam untuk dunia dahulu dan dunia akan datang, Islam untuk dunia 'zaman unta' dan Islam untuk dunia zaman moden yang pantas, canggih dan zaman internet, sehingga hari kiamat. Allah yang menjadikan Islam sesuai untuk semua bangsa dan semua pekerjaan sepanjang zaman. Maka sudah tentu aktiviti manusia ini tidak boleh disekat tetapi boleh dipandu mengikut acuan Islam. Bagaimana agaknya kita boleh menetapkan bentuk-bentuk tarbiyah khusus yang stereotaip untuk mereka semua?

Tarbiyah Rasulullah SAW
Memahami tarbiyah seumpama itu akan lebih memberikan kefahaman kepada kita bahawa sunah Ar-Rasul dalam pentarbiyahan, bukan semata-mata terletak kepada APA yang dilakukan, tetapi juga kepada UNTUK APA ia dilakukan. Rasulullah SAW membentuk para sahabat secara umum dan secara khusus. Secara umum contohnya dalam kuliah-kuliah dan khutbah baginda yang ditujukan kepada semua. Tarbiyah secara khusus seperti dalam nasihat-nasihat baginda kepada individu-individu sahabat ataupun semasa baginda menjawab permasalahan sahabat baginda. Tarbiyah khusus ini bergantung kepada keadaan dan tahap pemikiran sahabat pula.

Jika dilihat secara lebih terperinci pula, tarbiyah Baginda SAW mempunyai berbagai-bagai bentuk. Ada tarbiyah ilmiyah iaitu melalui pengisian ilmu. Ada tarbiyah jasadiyah iaitu dari segi tubuh badan dan perbuatan, ada tarbiyah maliyah iaitu bagaimana menguruskan harta dan ekonomi. Ada tarbiyah 'askariyah iaitu pentarbiyahan dalam bidang ketenteraan. Ada juga tarbiyah siyasiyah iaitu tentang pengurusan organisasi (termasuk politik) dan sebagainya.

Manakala setiap perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW itu pula merupakan sumber-sumber tarbiyah yang membentuk jiwa dan keperibadian para sahabat samada dari sudut ibadat khusus, ataupun ibadat umum. Dalam keadaan aman ataupun dalam peperangan. Semasa jaga ataupun semasa tidur. Malah dalam dalam hal-hal rumah tangga ataupun dalam hal-hal yang sekecil-kecilnya seperti makan-minum dan masuk tandas kepada sebesar-besarnya seperti kepimpinan dan kenegaraan. Itu semua merupakan tarbiyah Rasulullah SAW.

Tarbiyah ini berjalan secara berterusan tiada hentinya. Allah SWT mentarbiyah Rasulullah SAW secara khusus dan Rasulullah SAW mentarbiyah sahabat-sahabatnya secara umum dan khusus.

Tarbiyah bagi sebuah jemaah yang syumul
Sebuah jemaah yang syumul mempunyai matlamat tarbiyah umum dan khusus untuk seluruh ahli. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kualiti ahli dan menambahkan iltizam bagi membantu kemenangan Islam. Tarbiyah umumiyah boleh diperolehi melalui kuliah dan ceramah serta kerja-kerja jemaah untuk menegakkan Islam. Dari tarbiyah ini terbentuk pula tarbiyah fardiyah yang asas seperti menggalakkan solat berjemaah mengamalkan zikir-zikir yang ma'thur dan sahih, membaca Al-Quran, qiamullail, berpuasa sunat dan sebagainya sehinggalah kepada tarbiyah yang paling tinggi iaitu tarbiyah jihadiyah bagi menegakkan negara Islam. Tarbiyah khususiyah yang utama adalah usrah. Usrah akan menambahkan ilmu dan membentuk akhlak. Usrah akan membetulkan akidah. Usrah akan membentuk kesatuan fikrah. Seterusnya usrah juga akan membina kekuatan iman dan semangat jihad.

Bagi menyediakan dan membentuk pemimpin, tarbiyah khususiyah ini berbentuk tamrin dan ijtima'. Semua ini telah disediakan oleh PAS dan ditambahbaik oleh ulama-ulama tersohornya yang dikenali seantero dunia.

Dengan sistem tarbiyah yang syumul seperti ini, PAS istiqamah dalam membentuk 'amilin jamaah' bagaikan “singa pada siangnya dan ‘abid pada malamnya”. PAS, sebagai sebuah jemaah syumul dalam sebuah negara moden mempunyai sifat dan ciri-cirinya bagi mendepani cabaran masakini. Mempunyai rangkaian sistem tarbiyah yang juga syumul dan sesuai dengan zaman ini. Kesyumulan tarbiyah dan sifat PAS ini menjadikannya sebagai sebuah “gerakan Islam” yang layak membentuk sebuah negara Islam, yang merupakan cita-cita setiap individu muslim. Sebab itu di dalamnya juga terangkum politik, kebajikan, ekonomi, dakwah, penerangan dan jihad. Tuan Guru Presiden menegaskan melalui ucapanya dalam sebuah seminar; “Kita (PAS) tidak sama dengan Abim, Tabligh, JIM dan mana-mana kumpulan yang lain”. Berada dalam Abim mungkin kita tidak memerlukan latihan berpolitik, berada dalam Tabligh mungkin kita tidak memerlukan kesedaran politik dan jihad, berada dalam JIM mungkin kita tidak perlu kepada kursus pilihanraya dan dakwah kepada orang-orang kampung yang tidak berpendidikan. Tetapi PAS adalah perjuangan Islam yang syumul dan PAS adalah untuk semua (PAS for All).

Realiti tarbiyah kita
Kebanyakan dari kita melihat jemaah ini dari juzuk-juzuk yang kecil. Dari sudut-sudut yang sempit. Umpama membayangkan seekor gajah dengan hanya memegang belalainya yang meliuk-lintuk, atau memegang kakinya yang tegak seperti tiang, atau memegang ekornya yang panjang semata-mata yang menyebabkan mereka mendapat gambaran yang salah. Ini menyebabkan mereka tidak melihat kesyumulan jemaah. Mereka juga melihat jemaah dari sudut kegemaran mereka sahaja contohnya keseronokan berzikir dan berwirid di masjid tanpa perlu bersusah payah berjuang di dalam masyarakat yang mengorbankan masa bersama keluarga. Mungkin pula mereka tidak suka kepada sebahagian aktiviti jemaah yang menyebabkan mereka terdedah dengan risiko berenggang dengan jiran dan kawan-kawan seperti aktiviti politik... dan sebagainya.

Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan terdapat kelemahan dalam menyediakan pengisian dalam sistem tarbiyah khususiyah yang ada terutamanya usrah. Kelemahan itu adalah sifat manusia. Ia juga merupakan satu tarbiyah agar kita dapat menggunakan daya kreativiti kita untuk membuat pengisian. Keahlian yang terdiri dari berbagai tahap masyarakat ini juga menyebabkan tarbiyah khususiyah ini agak perlahan. Mereka memandang usrah seperti ceramah atau kuliah sahaja. Boleh hadir dan boleh tidak hadir. Inilah masanya mereka yang mempunyai kelebihan dari segi ilmu untuk bangun dan memimpin. Tanggungjawab merekalah untuk memulakan langkah. Memperbaiki kelemahan dan memperkuatkan yang lemah. Mereka tidak boleh lagi duduk menjadi pengikut dan pendengar semata-mata.

Jemaah Yang Syumul Wajib Disertai
Beberapa kelemahan yang ada dalam sebuah jemaah yang syumul masih tidak mengharuskan kita untuk meninggalkannya. Kita wajib menguatkannya. PAS memang tidak ada majlis zikir/wirid pada waktu petang sebelum Maghrib. Jika mereka merasakan ianya perlu untuk diri mereka, dipersilakan untuk melakukannya. Itu adalah tarbiyah fardiyah yang patut dilakukan, asalkan mereka tahu bahawa zikir/wirid tidak semestinya di masjid. PAS memang tidak ada istilah "keluar di jalan Allah" tiga hari, tujuh hari, sebulan, empat bulan dan sebagainya kerana perjuangan di jalan Allah adalah sepanjang masa. Jika mereka rasa perlu untuk melakukannya sebagai usaha meningkatkan tahap mujahadah mereka, dipersilakan untuk melakukannya asalkan mereka tahu untuk menguruskan keperluan keluarga sebelum ditinggalkan dan mereka tidak mendakwa penetapan bilangan hari itu amalan sunah Rasulullah SAW. PAS sangat terbuka kerana itu juga merupakan sifat kesyumulan jemaah Islam.

Prinsip umum dalam memahami perjuangan Islam melalui jemaah
Pertama yang perlu dilihat adalah kesyumulan jemaah terlebih dahulu. Dari apa yang disebutkan di atas, PAS merupakan sebuah jemaah yang syumul dengan perjuangannya menyamai prinsip perjuangan Rasulullah SAW (anda dipersilakan untuk merujuk sebarang maklumat tentang PAS dan 'isi kandungannya'). Tidak mungkin akan ada sebuah jemaah syumul kedua dalam sesebuah negara setelah wujudnya jemaah syumul yang pertama kecuali jemaah kedua itu sudah tentu akan menyertai jemaah yang pertama. Ertinya, sebarang jemaah yang ada selepas wujudnya PAS itu hanyalah umpama sayap yang melengkapkan perjuangan Islam. Bukan jemaah syumul. Ia pula tidak boleh bertentangan dengan cita-cita PAS untuk mendaulatkan Islam. Jika ia bertentangan dengan PAS, ia sudah tidak boleh lagi bergelar jemaah Islam biar apapun nama mereka.

Kedua ialah melihat apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dari sudut ibadat. Berbeza dengan ibadat khusus, dalam ibadat umum, kita perlu mengambil APA yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, tidak semestinya BAGAIMANA dan DI MANA ianya dilakukan. Contohnya dalam hal berwirid/berzikir. Rasulullah SAW beristighfar tidak kurang dari 70 kali sehari. Kita juga perlu melakukannya walau di mana kita berada. Tidak semestinya dilakukan di masjid. Rasulullah SAW qiamullail setiap malam. Kita juga perlu lakukannya walau di mana kita berada, tidak semestinya dilakukan di masjid. Dalam PAS semua amalan-amalan fardiyah sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sangat-sangat ditekankan tanpa menetapkan apa-apa yang tidak ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Ketiga - perjuangan Rasulullah SAW adalah perjuangan yang syumul. Dengan matlamat di dunia adalah menegakkan daulah Islamiyah (Negara Islam) bagi menyelamatkan manusia dengan keadilan pemerintahan Islam, dan matlamat di akhirat untuk mendapatkan syurga. Menegakkan Negara Islam memerlukan kuasa. Rasulullah SAW juga mendapatkan kuasa melalui cara pada zaman Baginda. PAS juga begitu. Berusahan mendapatkan kuasa agar Islam mampu ditegakkan dalam pemerintahan. Untuk mendapatkan kuasa, PAS perlu berlawan dengan kuasa, iaitu kuasa kerajaan yang sedia ada. Ia bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan kekuatan dalaman pendokongnya dan kepintaran strategi yang merentasi zaman. Kekuatan individu melalui tarbiyah yang mencakupi kesyumulan perjuangan. Mencakupi kesyumulan Islam itu sendiri. Ia memerlukan ijtihad dan tajdid agar sentiasa selari dengan syariah dan tidak melanggar batas halal dan haram. 'Kebenaran yang tidak terancang akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang terancang'. Sebab itulah sebuah jemaah yang syumul seperti PAS terpaksa menggunakan kaedah 'moden' yang praktikal dan sesuai dengan Islam dengan tidak meninggalkan tarbiyah ahli-ahlinya kerana ia merupakan kekuatan dalaman yang ampuh bagi mencapai matlamat sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW.

Kesimpulan
Bagaimana mungkin gerakan Islam seperti PAS yang menghimpunkan para ulama' dan ilmuan Islam yang terbesar di Malaysia ini boleh meninggalkan aspek tarbiyah? Bagaimana mungkin jemaah yang telah berjaya diuji dalam berbagai 'medan jihad' dengan berupaya menonjolkan ahli-ahli yang komited dan pemimpin yang tidak lari dari prinsip Islam ini dianggap tidak mempunyai tarbiyah? Berapa ramai orang yang boleh menolak tawaran berjuta-juta ringgit hanya dengan berkata "ya" tetapi dia berkata "tidak" demi perjuangan Islam, jika tidak kerana tarbiyah? Berapa ramai orang yang sanggup masuk penjara dan mati syahid dengan sanggup 'merempuh' gas pemedih mata dan kawalan polis / FRU demi membela sahabat yang dizalimi di dalam ISA, memperjuangkan bahasa demi masa depan generasi Islam, memperjuangkan keadilan sistem pilihanraya agar ruang kemenangan Islam mampu diperolehi... jika tidak kerana tarbiyah?

Hanyalah barangkali mereka yang mendakwa ini tidak mengenali PAS sebagai sebuah jemaah dan gerakan Islam, ataupun ahli PAS yang tidak menyertai usrah yang dilaksanakan di peringkat mereka, atau mereka tidak melakukan resolusi usrah yang dibuat di dalam usrah kerana sifat acuh tah acuh terhadap usrah.

Bagi tempat-tempat yang sememangnya mempunyai masalah usrah, pihak pimpinan PAS perlu segera mengatasi masalah tersebut. Apa yang nyata, tidak timbul masalah tiada tarbiyah atau tarbiyah tidak bermaya di dalam jemaah PAS, cuma individu pelaksana dan ahli-ahlinya sahaja yang barangkali kurang bermaya di mana ini bukan masalah batang tubuh PAS. Masalah seperti ini tetap akan berlaku di mana-mana jemaah dan organisasi sekalipun. Tidak ada yang boleh mendabik dada sebagai perfect.

3 comments:

abu muaz said...

Salam . Orang yang sibuk pertikai tarbiyyah dalam PAS ni saya fikir dia pun tak serius mana dengan tarbiyyah. Cuma sekadar buat sembang dan lepas cakap saja.Tarbiyyah ni termasuklah kena gas pemedih mata, lokap,ditarik kemudahan, dinafikan hak, dibuang IPT, dijel tanpa bicara semuanya itu adalah tarbiyyah kepada para pendokong jemaah.

neopentene said...

Tahniah banyak2 kepada penulis. Ana mohom tuk ana sebarkan page ni kepada sahabat2. Semoga dapat tingkatkan kembali semangat untuk berjuang. ALLAH HU AKBAR!!

Ibnul Munzir said...

To abu muaz
Itulah realiti masyarakat dan kawan-kawan yang kita terpaksa hadapi... moga kita kuat iman dan sabor jelahh dengan kerenah mereka..

To neopentene
Alhamdulillah... sebarkanlah. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...