Sunday, June 14, 2009

Dr. Asri yang masih tidak mengenali UMNO.

(Ibnul Munzir)

Tulisan Dr. Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Negeri Perlis) pagi ini yang bertajuk Kerajaan Perpaduan Dan Persaudaraan Islam agak sinis memperli PAS dan UMNO. Meskipun tujuannya baik, untuk kemaslahatan ummah di Malaysia, namun isi tulisannya saya rasa tidak dapat dipraktikkan di Malaysia kerana ia merupakan teori bagi seorang idealis tetapi tidak diberpijak di bumi Malaysia. Barangkali ia sesuai dipraktikkan di negara yang tahap demokrasi yang lebih tinggi.

Antara tulisannya adalah "Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti." Kenyataan ini jelas ditujukan untuk UMNO yang selama lebih 50 tahun berkuasa telah bergabung dengan MCA, MIC dan Gerakan telah menindas kaumnya sendiri atas sebab tidak menyokong UMNO/BN.

Tambahnya lagi "Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam". Kenyataan ini telah ditujukan kepada PAS. Maksudnya ialah PAS berang bila diajak berdamai dengan UMNO sedangkan boleh berkawan dengan PKR, PSM dan DAP. Isu berkawan dengan sesiapa saja sepatutnya tidak ditimbulkan kerana Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam (SAW) juga 'berkawan' dengan Yahudi di Madinah kerana Yahudi itu sanggup mengiktiraf Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW. Perpaduan antara Rasulullah SAW dan Yahudi Madinah dilakukan untuk menguatkan pertahanan Islam menentang Quraisy Mekah yang mempunyai kekuatan dan ingin menghancurkan Islam. Jadi, untuk menegakkan Islam dan keadilan, Rasulullah perlu mengunpul kekuatan untuk menentang Quraisy Mekah. Begitulah jugak senarionya yang dilakukan oleh PAS hari ini. Bergabung dengan mana-mana parti atas dasar menegakkan keadilan untuk menumbangkan UMNO/BN yang jahat dan zalim.

Contoh yang dibawakan oleh Dr. Asri bagi diikuti oleh PAS ialah seolah-olah PR bergabung dengan UMNO itu dapat menjana kemaslahatan ummah. Katanya "Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali." Masalah yang mungkin tidak dilihat oleh Dr. Asri ialah siapa dia Muawiyah radiallahu'anhu (RA)? Muawiyah RA merupakan seorang sahabat nabi yang merupakan seorang penulis wahyu, adil dan bertaqwa. Di mana urusan umat ini sudah pasti akan terjamin di bawah pemerintahan beliau apabila beliau diberi kuasa.

Dalam isu di Malaysia ini ialah pemimpin UMNO/BN itu merupakan pemimpin yang 'kotor'. Tolong buktikan seorang pemimpin UMNO/BN yang bersih menurut pandangan Dr. Asri jika ada untuk memimpin negara. Nescaya tidak ada! Bagaimana mungkin manusia-manusia seperti itu dapat diberi kepercayaan untuk meneruskan pemerintahan negara untuk memberi keadilan. Sedangkan dalam suasana kelemahan yang nyata telah berlaku dalam UMNO/BN itu sendiripun, mereka masih sanggup menceroboh institusi Kehakiman dan Perundangan. Mereka masih menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat demi kepentingan parti dan kroni. Bagaimana jika mereka yang mempunyai rekod amat buruk setelah memerintah lebih 50 tahun ini terus diberikan kuasa?

Jadi, apabila memahami UMNO/BN sebenar dan politik di Malaysia ini, sudah tentu kita terpaksa menggunakan untuk bersatu menumbangkan yang zalim bagi menegakkan keadilan kepada rakyat.

Seterusnya Dr. Asri melontarkan pertanyaan "Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka." Bersama dalam isu-isu khusus yang bagaimana? Kalau Dr. Asri dapat menyenaraikan isu-isu khusus yang boleh dibincangkan bersama antara PAS dan UMNO sudah tentu beliau akan mendapati UMNO-lah pihak yang pertama-tama menolak untuk diajak berbincang. Berapa kali TV digunakan untuk membahaskan isu-isu untuk kepentingan rakyat Malaysia? Itupun dalam isu Debat yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar itu, beliau selalu menjadi pengganggu ucapan wakil pembangkang sehingga menjadikan siaran itu seolah-olah menjadi perangkap untuk menjatuhkan imej pembangkang. Isu-isu besar seperti isu rampasan kuasa negeri Perak, isu ISA, isu PPSMI, isu penyelewengan wang rakyat dan berbagai-bagai lagi itu sepatutnya lebih Dr. Asri persoalkan mengapa kerajaan UMNO/BN tidak bersedia untuk bersemuka dengan wakil PAS di pentas televisyen.

Kesimpulannya, saya menjemput Dr. Asri untuk kerapkan diri untuk turun padang dan berbincang dengan PAS bagi mengetahui hal politik Malaysia yang sebenar. Barangkali dengan pengetahuan dan memahami realiti keadaan di Malaysia, idea-idea bernas beliau dapat lebih bermanfaat untuk menjana pembentukan Malaysia Baru.

9 comments:

Pemerhati Jauh said...

Tulah masalahnya kalau dah tak terlibat secara langsung dengan politik dan jemaah,sedap cakaplah...penuh dengan idea-idea retorik yang tidak realistik..

Sokong penghujahan Ibnul Munzir!

Anonymous said...

Salamu Alaikum.. Sekadar coretan, tapi ikhlas, dengan kebenaran.. Bukan tak tahu perbuatan pemimpin2 UMNO dan BN yang mencabuli prinsip keadilan dan demokrasi,tapi sebab dah lali dengan perbuatan dorang,dan selalu sangat dah tgk, jadi sampai tak cakat da nak naik marah.. Buat dek je la... Cuma mengharapkan keadilan akan ditegakkan secara 'selamba dan bersahaja' dengan undi-undi pemuda-pemudi yang cintakan keadilan dan kebangkitan Islam, dalam PRU akan datang.. Sama-sama kita doakan..Dan untuk ibnulmunzir, ku ucapkan, teruskan penulisan anda, semoga ianya dapat memberi pemahaman dan kesedaran kepada pelayar-pelayar blog yang kebanyakannya masih muda-mudi.. Kerana mungkin undian kami dapat membawa 'fenomena' baru di dalam PRU akan datang.. Amien..

Ibnu Saif said...

Assalamualaikum Akhi ibnu Munzir.. bagi saya kan.. saya bersetuju dengan kenyataan ustaz maza tu.. kuar dari kemashlatan parti menuju kepada kemashalatan ummat.. - yang ni je laa - hihi..

Yupp.. setuju sgt2..

ni semua mesti berkaitan ngan kerajaan perpaduan tu kan.. orang salah anggap.. orang igt PAS nak bergabung ngan umno.. Adoohh... jauh sama sekali.. amatlah meleset pentafsiran itu..

apa yang saya nampak.. orang-orang umno yang kena masuk PAS.. dan UMNO memang sudah tidak relevan.. kerana PAS tidak berjuang semata-mata untuk Parti.. tapi untuk kemashlatan ummah.. yang islam dan yang bukan islam.. tapi Umno len.. berjuang semata-mata untuk parti dan kroni... tidak ada keadilan yang telus didalamnya..

jadi.. kerajaan perpaduan tu mungkin sahaja membawa maksud kerajaan yang demokrasi.. seperti yang diterangkan oleh Tuan Guru Haji Hadi..

dan tidak sama sekali bermaksud bergabung dengan UMNO seperti yang dinyatakan oleh Dr Asri..

Untuk orang2 umno... keluarlah dari Umno dan masuklah PAS demi kemashlatan Ummah.... sepatutnya camni laa yang DR Asri cakap... bukan nak suh PAS gabung ngan UMNO.. pelik.. huhu..

Ibnul Munzir said...

To Dianah

InsyaAllah kalau diizinkan akan cuba tulis sekadar kemampuan... thanks kerana selalu baca post Abg. Lan kat sini...

Ibnul Munzir said...

To Ibnu Saif

al Basayuv yer... alhamdulillah orang jauh lebih terbuka dan memahami situasi politik Malaysia..

Jangan jemu baca posting saya yek..

alQasam said...
This comment has been removed by the author.
alQasam said...

Askum

Erm.

Bila menyebut tentang MAZA ini ana terkedu. Tidak dinafikan beliau bijak dan ada idea yang boleh dipakai dan dapat digembleng bersama.

Namun selalu yang menjadi rungutan hatta guru beliau dalam bidang Hadis sendiri di IIUM juga guru ana juga berpunca banyak sebab. Ana tidaklah berniat membuka/bercerita banyak, namun soal fatwa, tidak menghadiri mesyuarat majlis fatwa kebangsaan, tidak beradab dengan Ulama', salah menqoute kitab-kitab Ulama' Syafieyyah dan pelbagai lagi masalah disiplin ilmu dan adab terhadap Ulama' yang merisaukan.

Dalam soal politik juga. Ada ideanya yang boleh digembleng untuk disesuaikan namun ada ideanya juga yang boleh ditolak. Bukankah itu hujah beliau ketika membicarakan soal ijtihad?

Waqie' dan strategi politik sangat halus sifatnya. Tidak semudah memberi jawapan A atau B dalam permasalahan feqh. Hatta feqh perlu ada disiplin.

Apapun, beliau memberi buah pandang selaku pemikir luar dan bukan penggerak. Ada aspek yang boleh difikirkan besama ada yang tidak patut diterima.

ALLAHUA'LAM.

alQasam said...

Ibnu Saif:

Mengapa rakyat dan pendokong tersalah faham tafsiran tersebut?

Sebab isu tersebut timbul tanpa prinsip-prinsip siasah dan syura yang tersusun.

Jika idea tersebut dimasak dengan matang dalam Majlis Syura, kemudian keluar satu suara SAHAJA wakil PAS mengeluarkan garis panduan apakah yang dimaksudkan dengan UGovernence, apa pendirian kita, apa yang prinsip kita, apa perancangan kita pada khalayak ana rasa tiada masalah yang timbul di kalangan ahli. Kerana ahli PAS sekalipun dari latar berbeza, jika ia Majlis Syura dan dari Dewan Ulama' maka wala' kita tinggi.

Sebab itu pandangan ana, majlis Syura' dan Dewan Ulama' perlu diperkemaskan lagi kedudukannya. Agar apa-apa juga perbezaan pendapat berlaku secara dalaman, dibincangkan secara tertutup, khilaf dimasak dalam syura' dan terhasil IJMA' yang akan dikeluarkan oleh hanya SATU suara yang disepakati.

Ini akan menguntungkan ISLAM, DAKWAH dan POLITIK Islam sendiri.

Bukankah kembali pada Quran, Sunnah dan Ijma' itu motto kita?

Allahua'lam.

Dr Amad said...

Orang tua ada kata pada orang muda

"Hah,kamu mana tau.Aku makan garam lebih dari kamu semua"

" Orang muda itu idealis,tetapi kekadang tak menjejak bumi"

"Teorinya indah begitulah,tetapi medan 180 darjah terbalik dari medan"

Orang tua bagi tunjuk ajar,pemuda sebagai pengerak. Simbiosis...

Salam ziarah dari bumi wali songo...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...