Tuesday, June 16, 2009

Almarhum Ust. Fathi Yakan - Kau lebih awal mengenalkanku kepada dunia perjuangan

(Ibnul Munzir)

Saya diperkenalkan dengan dunia usrah ketika melangkahkan kaki ke MRSM Seremban pada tahun 1986 dulu sebagai pelajar tingkatan 4. Ketika itu saya telah mendengar nama Fathi Yakan disebut-sebut dan bukunya dijadikan teks usrah. Sayapun tak berapa betul sebut nama beliau ketika itu sebagai 'fadhi' bukan 'fat-hi'. Melalui usrah itulah saya dilatih untuk bersama dengan Islam dalam segenap kehidupan. Saya diperingatkan untuk menjaga solat berjemaah, menutup aurat, berukhuwah dan berakhlak mulia. Kami diajak bersama-sama untuk berusrah, menghafaz surah-surah juz 'Amma, qiamullail, puasa sunat, riadah, rehlah dan mukhayyam serta lain-lain aktiviti yang akan membentuk ketahanan diri dan kekuatan mental.

Saya masih ingat lagi semasa saya berada di tingkatan 5 (tahun 1987), kami mengadakan mukhayyam di lereng bukit antara Seremban dan Kuala Pilah selama 3 hari 2 malam. Nasib tidak menyebelahi kami kerana cuaca 'kurang baik' apabila sepanjang mukhayyam itu hujan telah turun terus-menerus. Hanya ketika kami sampai sahaja tidak hujan. Kami sempat mengumpulkan kayu api untuk memasak yang boleh digunakan selama 1 hari sahaja. Hari-hari seterusnya kami terpaksa menghidupkan api dengan kayu yang basah! Pakaian kamipun habis basah dan yang dijemurpun tak sempat kering. Kami tidur di atas tanah yang berlumpur dengan pakaian yang basah... Saya pula terpaksa tidur sambil duduk, kerana berhimpit-himpit ruang dengan sahabat lain bagi mengelakkan tempias hujan. Kesusahan dan cabaran itu menyebabkan saya terasa betapa nikmatnya kalau dapat tidur di tempat yang kering dengan pakaian yang kering biarpun di kaki lima... Itulah pengalaman mukhayyam yang tak dapat dilupakan dan itulah juga yang selalu menjadi motivasi sehingga hari ini meskipun setelah 22 tahun berlalu.

Demikianlah usrah 'bimbingan' Ust. Fathi Yakan. Itulah antara sedikit kesusahan dalam perjuangan yang saya rasa perlu dilalui oleh setiap pejuang. Natijahnya amat mendalam terasa di dalam diri dan seolah-olah semua kesusahan yang lain kecil sahaja.

Kini, murabbi kita semua telah meninggalkan kita untuk kembali kepangkuan kekasih yang lebih dirinduinya, penciptanya dan pencipta kita semua... Allah Rabbul Jalil. Maka tamatlah sudah tanggungjawabnya di dunia ini yang telah dilaksanakan olehnya dengan jayanya. Kini beliau akan merasai benarnya janji Allah Subhanahu wata'ala (SWT) berupa nikmat yang tak tergambar hebatnya.

Tiadalah lagi karya-karyanya. Tiadalah lagi nasihat-nasihatnya. Tiadalah lagi ilmu-ilmu di dadanya untuk dicurahkan kepada kita semua. Apa yang tinggal adalah khazanahnya yang sangat bernilai, untuk manfaat seluruh umat hingga akhir zaman. Kini segala tanggungjawab itu berpindah pula ke bahu-bahu kita dan seluruh umat yang ingin mengikut jejak langkahnya menuju keredhaan Allah SWT. Hanya doa kita titipkan bersama kesedihan umat ini... mudah-mudahan rohnya berada di tempat siddiqin, syuhada' dan solihin di sisi Allah SWT.

Al-Fatihah.

2 comments:

nasikerabupetro said...

Dahsyat gak MRSM Seremban ya? Ada tanzim...

MRSM saya, kejap ada, kejap tak ada... Bukan tanzim tapi sekolah...
- MRSM-YT Besut... hu-hu... politik punya pasal...student berpindah-randah...

Ibnul Munzir said...

To nasikerabupetro

Oohh... ex-MRSM jugak yer... Tapi saya adalah anak bongsu tingkatan 5 kat situ. Sekarang dia buat kolej MARA kot. Tapi rasanya tak putus kot tanzim situ... YB Paroi dari PAS tu adalah senior saya 2 tahun di MRSM. Dulu pendiam jer...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...