(Ibnul Munzir)
Berikut adalah teks deklarasi yang diedarkan dalam sidang akhbar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Berita ini sengaja saya paparkan semula meskipun telah beberapa hari berlalu bagi mengingatkan kita tentang kepentingan deklarasi ini. Berita dalam Harakah Daily di sini. Meskipun deklarasi ini hanyalah merupakan suatu pernyataan umum, namun ia sangat penting dalam mengingatkan kembali Peristiwa 13 Mei 1969 yang mencetuskan huru-hara dan darurat di Malaysia. Ini merupakan huru-hara yang dirancang yang tidak dicatat oleh sejarah. Kejayaan mencipta huru-hara itu itu menjadi satu ikon yang sentiasa dimomokkan kepada rakyat Malaysia khususnya Melayu agar terus-terusan menjadi takut dan terus menerus bergantung kepada kerajaan UMNO/BN. Katanya hanya UMNO/BN saja yang mampu memerintah. Jika tidak memilih UMNO/BN, maka negara akan huru-hara sebagaimana 13 Mei.
Barangkali itulah sebabnya target memajukan Melayu tidak berjaya. Rakyat semakin takut dan terus taat tidak mengira keadaan kepada UMNO/BN, manakala peluang ketaatan Melayu ala Hang Tuah ini telah digunakan sepenuhnya oleh pemimpin-pemimpin mereka untuk terus menipu dan menguras kekayaan negara untuk kroni-kroni mereka.
Maka itu, deklarasi ini mengajak rakyat membuka minda dan membuat perubahan mengikut sistem yang diciptakan oleh Allah SWT. Bernaung di bawah Islam dan tidak takut untuk berubah. Berikut adalah teks tersebut:
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaaan dan amalan kamu).”
(Surah Al-Hujurat: Ayat 13)
Dengan perkembangan-perkembangan laporan di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, akhbar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah. Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semua kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.
Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh. Ini kerana ia kehilangan kujujuran. Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi unutk tujuan-tujuan persendirian.
Di atas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melaui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah. Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan. Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momemtum baru.
Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu. Dari itu, kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira. Untuk bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama. Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT: itu permis kebahagiaan yang pertama. Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat. Oleh kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintah dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan “rule of law and natural justice” serta segala amalan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh perlembagaan. Ini bertindak sebagai asas pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat perlu diberi atau di kembalikan semula hak-hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini. Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom, dan bakar yang semakin menjadi- jadi. Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan kehidupan beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian : terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badan dan harta benda dari difitnah dan dimusnahkan: maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh merasa selamat. Ini soal hak yang sangat asas. Ia menjadi hak asasi milik setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati. Mari kita jadikan tanggal 13 mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama , mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.
Kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assalaamu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam. Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala amalan kezaliman, rasuah dan ketidakadilan.
Terima kasih dan Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS
Bertarikh : 18 Jamadil Awal 1430
13 Mei 2009.
No comments:
Post a Comment