Monday, April 8, 2013

Tasawur Islam itu menjelaskan wajibnya berpolitik

(Ibnul Munzir)

Banyak maklumat yang disebarkan bahawa politik itu kotor. Pilihanraya hanya mengikut barat, justeru tidak sesuai untuk negara Islam. Islam cukup dengan beramal yang dipanggil amal Islami iaitu solat berjemaah, puasa, zakat, dan pergi haji ke mekah. Cukup untuk memakmurkan negara.

Agak malang apabila yang menyebarkan fahaman ini bukan sebarangan kumpulan. Ada di kalangan mereka itu terdiri daripada orang yang terpelajar. Ada yang hafiz Al-Quran, ada yang profesional dari sudut kelulusannya. Malah mereka juga mendakwa dari kumpulan Islam. Orang yang tidak memahami tasawur Islam itu ramai yang terpengaruh dan akhirnya mengelakkan diri dari terlibat dengan politik, menjadi pemerhati dalam proses pilihanraya dan tidak mahu mengundi kerana dibimbangi jatuh ke dalam dosa... satu sifat yang kononnya cukup soleh dan berhati-hati.

Betulkah demikian?

Persoalan yang mudah untuk ditanyakan.... kita semua tahu siapa itu Rasulullah SAW. Baginda bukan saja sebagai Nabi dan Rasul, baginda juga menjadi contoh tauladan yang jelas di dalam semua bidang. Baginda adalah ketua negara, baginda adalah ketua turus angkatan tentera yang masuk ke medan perang mendedahkan dirinya kepada terbunuh. Baginda adalah pakar ekonomi yang membina dan memajukan negara, guru yang mursyid, ketua keluarga, ayah dan suami yang penyayang. Kalaulah Islam itu tidak ada kena mengena dengan semua itu, mengapa Rasulullah SAW bersusah payah menjadikan diri baginda contoh?

Inilah masalahnya apabila sudut-sudut siasah dan muamalat ini tidak dilihat sebagai kesyumulan Islam yang dibawa oleh baginda. Kenapa menuduh politik itu kotor sedangkan baginda ketua negara? Bolehkah negara itu diperintah tanpa melibatkan diri dalam politik? Begitu juga sudut-sudut Islam dalam kehidupan yang lain. Semuanya telah ditunjuki oleh baginda Rasulullah SAW sehingga Islam itu kelihatan indah. Islam itu lengkap dan sempurna.

Apabila kita hanya mengambil sebahagian sahaja ajaran Islam, bolehkah umat Islam menjadi umat yang kuat? Apabila kita membiarkan saja pemerintahan berada di tangan puak sekular dan nasionalis, bolehkan Islam menjadi kerajaan? Bila Islam tidak menjadi kerajaan, bolehkah keindahan Islam itu dilaksanakan?

Agaknya mereka mengatakan bahawa politik ini kotor sebab orang politik ini banyak mengata, menuduh, bergaduh, tidak bersatu padu dan sudah tentu ini bukan akhlak Islam dan akan melemahkan Islam. Ya, semua itu memang akan melemahkan. Tetapi apakah sebabnya mereka berselisih pendapat? Satu parti mahu menegakkan Islam dalam pemerintahan dan satu parti lagi mahu menegakkan sistem nasionalis-sekularis. Sememangnya mereka tidak mungkin akan bersatu. Jadi apa penyelesaiannya? Penyelesaiannya sudah tentulah menjatuhkan nasionalis-sekularis itu melalui saluran politik. Kalau dalam zaman Rasulullah SAW, penyelesaiannya ialah dengan peperangan. Sebab itu Rasulullah SAW berperang. Berperang demi menegakkan Islam. Bukankah berperang itu buruk? Lebih buruk dari sekadar mengata dan menuduh. Malah membunuh sebahagian yang lain. Apakah kita mahu mengatakan bahawa Rasulullah SAW itu salah? Cara Rasulullah SAW itu akan melemahkan Islam?

Apabila ada cara yang lebih aman dari berperang, sudah tentu kita pilih yang aman. Sebab itu kita masuk ke dalam pilihanraya. Di zaman Rasulullah SAW yang diikuti oleh para sahabat dan keseluruhan generasi Islam yang agung, berperang ialah pilihan yang terakhir. Pemimpin negara yang zalim terhadap rakyatnya akan diberi tiga pilihan. Menganut Islam, membayar jizyah (ertinya tunduk kepada pemerintahan Islam) atau berperang. Justeru pada hari ini sudah tentulah cara yang aman kita guna selagi cara itu dilaksanakan. Kalau dengan cara inipun kita masih tidak mahu menyertakan diri, maka dibimbangi kita akan serupa dengan Abdullah bin Ubai yang menarik diri dari peperangan.




No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...