Saturday, April 6, 2013

Bersyukur bukan bermaksud redha

(Ibnul Munzir)

Saat ini, antara kempen pilihanraya yang dibuat secara halus dan secara tidak langsung yang diamalkan oleh TV dan media parti pemerintah UMNO-BN atas nama media kerajaan ialah meminta rakyat bersyukur atas nikmat sebagai rakyat Malaysia yang aman dan makmur. Lantas membandingkan antara dulu dan sekarang di mana sekarang senang dahulu susah. Membandingkan dengan negara bergolak seperti syria, afghanistan, palestin, myanmar dan lain-lain di mana Malaysia tiada peperangan dan kononnya aman.... juga negara-negara miskin seperti negara-negara afrika dan sebagainya.

Tujuannya jelas, agar rakyat terus memberi mandat kepada UMNO-BN dalam PRU-13 nanti.

Persoalan pertama:

Mengapa membandingkan dengan negara bergolak? Apa persamaan Malaysia untuk membandingkannya dengan negara-negara itu? Kalau nak banding, sepatutnya banding dengan negara yang sama-sama aman dan paling hampir. Mari bandingkan dengan Singapura dan Brunei.

Singapura, sebuah negara kecil, yang lebih kecil dari Melaka. Mempunyai sumber ekonomi hanya melalui hasil perdagangan impot eksport sahaja mampu menjadi negara antara yang terkaya di dunia berdasarkan KDNK per kapita iaitu pada kedudukan tangga ke-3 di dunia.

Brunei juga sebuah negara kecil di celah-celah negeri Sabah dan Sarawak yang begitu besar, juga tidak mempunyai sumber ekonomi selain petroleum, tetapi telah menjadi negara terkaya di dunia iaitu pada tangga ke-5 berdasarkan KDNK per kapitanya. Sedangkan simpanan minyak di perut buminya tidak lebih banyak berbanding Sarawak.

Sedangkan Malaysia, mempunyai pendapatan sumber asli seperti petroleum dan gas serta buminya yang subur dengan hasil pertanian yang banyak seperti kelapa sawit, getah, kayu balak dan sebaginya tetapi hanya menduduki tangga ke 65 di dunia (sumber - Tabung Kewangan Antarabangsa 2010) jauhnya 'darjat' antara Malaysia dan Singapura mahupun Brunei Darussalam.

Apakah ini menunjukkan yang dikatakan UMNO-BN membela rakyat dan pandai memerintah? Negara yang begini kaya tetapi rakyatnya miskin?

Lihat pula pada sejarah Korea Selatan. Pada awal tahun 60-an dahulu ia merupakan negara termiskin di Asia sedangkan Malaysia ketika itu antara negara terkaya iaitu pada kedudukan ke-2 selepas Jepun. Tetapi malangnya, selepas lebih 50 tahun merdeka, kini negara Korea Selatan jauh mendahului Malaysia iaitu pada kedudukan ke-33. Apa yang terjadi? Malaysia melimpah dengan sumber kekayaan, tetapi semakin lama UMNO-BN memerintah, semakin jatuh kedudukan ekonominya. Apakah sebab hasil mahsul Malaysia semakin kurang? Tidak!  Justeru itu jelaslah sudah bahawa puncanya adalah kerana UMNO-BN yang gagal mentadbir negara ini.

Persoalan kedua:

Apakah dengan memberi sebahagian hasil negara kepada rakyat atas nama pembangunan, kemudiannya mengambil sebahagian yang lain dengan cara yang tidak amanah untuk diri sendiri dan sebahagian lagi diagih-agihkan kepada pemimpin dan kroni-kroni parti atas nama pelbagai projek mega yang tidak menasabah sehingga mereka menjadi antara pemimpin terkaya di dunia (dengan harta berbilion ringgit) rakyat boleh meredhakan begitu sahaja?

Inilah antara punca mengapa Malaysia yang kaya tetapi rakyatnya miskin. Kekayaan negara tidak diagih secara adil kerana pemerintah juga bersaing untuk mengaut kekayaan tersebut secara 'kolar putih'. Golongan pemerintah UMNO-BN dan kroni-kroninya kaya-raya. Selama lebih 50 tahun memerintah, anda bayangkan sendiri bagaimana mereka mengumpul harta kekayaan.

Barangkali jika negara ini diperintah oleh para pemimpin yang jujur dan amanah, tidak memakan rasuah, adil dan saksama, keadaan hidup rakyat Malaysia lebih baik dari rakyat Qatar pada hari ini. Tetapi malangnya kerana sifat keji pemakan rasuah itu dijadikan pakaian para pemerintah UMNO-BN, ia menyebabkan pemimpin kaya tetapi rakyat dilanda kemiskinan. Jurang kekayaan antara pemimpin dan pengikut terlalu besar. Kepimpinan yang sepatutnya adalah amanah Allah untuk memakmurkan negara dan mengagihkan kekayaan secara adil tidak berlaku tetapi ia dijadikan alat untuk mengaut kekayaan yang melampau.

Tanda kita bersyukur antaranya ialah patuh akan perintah Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Oleh itu, apabila kita mengetahui akan kepincangan, kelemahan, kezaliman, ketidakadilan dan lain-lain yang dilakukan oleh pemerintah, maka wajib kita sebagai rakyat untuk menukarnya kepada yang lebih baik. Inilah bukti dan tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas nikmat yang diberikan.


Dalam sebuah negara demokrasi, kita lebih mudah menggunakan kuasa yang ada pada kita untuk menukar kerajaan dengan cara mengundi. Oleh itu, ayuhlah saudaraku kita bersama melakukan amar makruf dengan memberikan undi kepada penegak keadilan, dan melaksanakan nahi mungkar dengan tidak memberikan undi kepada parti yang telah terbukti gagal memerintah dan penuh rasuah.

Bersyukur itu adalah dituntut. Tetapi bukan bererti redha.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...