Thursday, April 4, 2013

Melayu Perlu Dibebaskan Mindanya

(Ibnul Munzir)

Dalam banyak tulisan saya, saya selalu fokuskan kepada bangsa Melayu terutama dalam hal politik. Ini kerana bangsaku ini sangat terkebelakang dalam hal ini berbanding bangsa-bangsa lain. Apatah lagi mereka yang berada di kampung-kampung dan kawasan pedalaman yang dihimpit kemiskinan. Apakah tidak sampai maklumat kerana mereka kurang membaca? Entahlah... tetapi yang nyata golongan ini sangat sukar menerima perubahan.

Zaman ini segala maklumat boleh dapat di hujung jari. Internet juga telah sampai ke kampung-kampung. Maklumat mampu diperoleh dengan sangat pantas. Tetapi apakah faktor yang menyebabkan mereka cukup teguh pendirian untuk terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional?

Dahulu saya adalah orang 'darat' yang berada di sekeliling sanak-saudara yang ber'mazhab'kan UMNO. Sememangnya dari dulu UMNO menggunakan segala harta kerajaan tetapi dilabelkan sebagai harta mereka. UMNO menjadi seperti badan kebajikan masyarakat dengan menggunakan duit kerajaan. Balairaya seperti markaz mereka. Mereka yang tidak bersama UMNO seolah-olah telah menyisihkan diri dengan masyarakat. Zikir yang terus diulang-ulang ialah "hanya UMNO-BN boleh memerintah". Menentang UMNO seperti menentang kerajaan dan dianggap pembelot dan derhaka!

Meskipun kemudahan asas di kampungku itu sangat dhaif, jalanraya pula, baru dalam 10 tahun ini diturap dengan permix, kami terus menjadi aset UMNO bila tiba pilihanraya. Selama ni, setiap 4-5 tahun sekali bila nak tiba pilihanraya, mereka akan buat sikit-sikit jalan batu (tanah merah). Sampai pada ketika itu saya yang masih kecil sudah pandai merungut kenapa bila nak pilihanraya saja pembinaan jalan dibuat. Dahlah begitu, tidak disiapkan. Kena tunggu nak pilihanraya akan datang.

Kebodohan masyarakat Melayu dalam politik sebenarnya kerana mereka ber'kiblat'kan TV dan akhbar perdana. Apabila digabungkan dengan kemiskinan, ianya menjadi suatu agenda yang sempurna untuk memenjarakan minda masyarakat Melayu ini. Ini sebenarnya adalah perancangan yang disengajakan. Apabila masyarakat menadah TV setiap hari, maka mereka akan menjadi subjek kepada ilusi minda yang dicetuskan oleh pemilik media itu untuk mempercayai apa yang diprogramkan kepada mereka.Kalau mereka ingin menyatakan bahawa kerajaan UMNO-BN ini sangat perihatin kepada masyarakat, maka akan ditonjolkan program itu di TV setiap hari. Maka mereka terus dibuai dengan apa yang diprogramkan itu dan menganggap kerajaan UMNO-BN sangat berjasa membela rakyat dan membantu mereka yang susah, walaupun rumah mereka sendiri nak roboh, rumah jiran-jiran mereka nak roboh, kemudahan asas tak dapat, barang naik, pendidikan anak-anak tinggi, kos kesihatan yang tak mampu ditanggung.... Mengapa terjadi demikian? Kerana mereka menganggap bahawa mereka sudah cukup bertuah berada di bumi Malaysia yang diperintah oleh UMNO-BN yang TV kata cukup perihatin dalam membantu rakyat. Kasihan... dijadikan katak yang di letak di bawah tempurung dan terus menjadi alat kepada UMNO-BN yang terus melahap khazanah negara.

Suatu ketika saya berasa hairan, mengapa masyarakat bandar sanggup menjadi penderhaka kerana menentang kerajaan? Kawasan-kawasan bandar BN akan tewas kepada DAP, parti yang dimomokkan sebagai adik-beradik komunis. Apakah mereka tidak setia dan berpaling tadah apabila sudah maju? Maka dengan sendiri, masyarakat kampung seperti saya ini takut untuk menjadi maju kerana akhirnya akan menjadi penentang kerajaan.

Apabila saya memasuki asrama barulah saya faham sedikit demi sedikit sebenarnya apa yang berlaku di negara ini. Ilmu akan membebaskan manusia dari menjadi 'hamba' kepada sesama makhluk. Selama ini masyarakat kampungku terpenjara kerana ilmu. Kemiskinan akan menyebabkan 'tok guru' mereka setiap hari adalah TV. Apabila rakyat menjadi cerdik, maka mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda. Hanya kebenaran yang akan menarik mereka. Inilah puncanya mengapa UMNO terus berkuasa di kampung-kampung...memenjarakan mereka di alam kemiskinan, dan menjadikan mereka umpama haiwan ternakan yang akan menjadi aset penting pilihanraya. Sebab itu, Malaysia, meskipun antara negara terkaya di dunia tetapi mempunyai rakyat termiskin juga antara teramai di dunia.

Ilmu itu membebaskan minda. Minda yang bebas menjadikan taraf manusia itu tinggi. Selain itu, manusia yang berilmu adalah aset yang berguna kepada negara. Merekalah yang akan membangun negara dan memajukannya. Kalau manusia itu berilmu, mereka tidak akan membiarkan kekayaan negara dibolot oleh segelintir manusia yang digelar pemimpin UMNO-BN. Kalau rakyat Malaysia cerdik, pastinya mereka tahu bahawa antara kerajaan Malaysia dan parti UMNO-BN adalah dua entiti berbeza. Justeru duit UMNO dan duit kerajaan juga adalah berbeza. Tetapi kerana kebebasan minda itu masih belum berlaku sepenuhnya, maka UMNO masih menggunakan kaedah kuno bagi mempengaruhi Melayu agar terus mengundi parti usang itu agar dapat terus merompak wang negara atas nama kerajaan.

Jadi, kebebasan media adalah sangat kritikal untuk dilaksanakan. Ia akan meninggikan tahap ilmu masyarakat seterusnya membebaskan rakyat dari cengkaman kezaliman. Ia akan memungkinkan rakyat Malaysia menjadi rakyat yang dihormati di mata dunia. Inilah satu-satunya jalan singkat bagi menjadikan Malaysia Baru selepas PRU-13 nanti. Ayuh bangsaku... kalian adalah aset kepada Malaysia Baru yang aman dan maju...

1 comment:

Anonymous said...

Adakah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dilantik menjadi pemimpim melalui sistem undi?adakah islam itu bersifat kepartian?politik itu ada di dalam islam tetapi adakah sistem politik yg kita gunakan sekarang berlandaskan al quran dan hadis?dimanakah undang2 dan sistem kewangan islam di negeri yang kononnya diperintah oleh parti islam?bagaimana mahu mengubah negara jika peringkat negeri pon tidak terlaksana sistem islam sepenuhnya?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...