(Ibnul Munzir)
Tulisan ni hanya sekadar kenang-kenanganku semasa Bersih 3.0. Gambar-gambar yang ada mukaku dan muka kawan-kawanku telah tersimpan dalam memory card ku sejak 28/4/2012 yang lalu iaitu tarikh Bersih 3.0 itu. Oleh kerana memikirkan bukan senang nak dapat bersama dalam perhimpunan yang mengumpulkan seramai lebih 300 ribu rakyat itu, aku tuliskan sekadar kenangan-kenangan.
Bermula dengan aku mendapat sms dari seorang kawan di Kuala Lumpur yang mempelawaku menyertai pasukan Medical Team. Oleh kerana aku belum miss lagi perhimpunan ini sejak Bersih 1.0 dulu, rasanya sayang pula untuk melepaskan peluang ini. Apatah lagi aku akan bersama Medical Team yang kerjaku adalah jelas untuk membantu mereka yang kesusahan dan kesakitan. Maklumlah kalau dah ramai-ramai berkumpul macam tu, mungkin akan ada yang sakit pening, muntah, cedera dan sebagainya.
Kebetulan seramai 6 orang telah bersetuju untuk bersama dari Kuala Terengganu. Jadi kami berpakat untuk menaiki kereta seorang kawan di Kuala Ibai. Kami bertolak kira-kira pukul 3.15 pm selepas solat Jumaat. Perjalanan tenang menuju ke Kuala Lumpur. Kami berhenti rehat di RR Gambang untuk solat Asar dan RR Temerloh untuk makan malam, serta solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak.
Malam itu kami berkumpul dan bermesyuarat di Gombak dan tidur di Subang di rumah kedai seorang kawan yang bertugas di Kelantan.
Bersarapan pagi di Restoran India Muslim. |
Keesokannya selepas bersarapan pagi di sebuah restoran India Muslim, kami terus bertolak ke lokasi. Kumpulan dari Terengganu diletakkan dalam satu kumpulan iaitu kumpulan 1. Kami bertugas dari Central Market dan mengikuti rombongan dari sana menuju ke Dataran Merdeka.
Meskipun kami diberitahu bahawa Dataran Merdeka memang tidak boleh dimasuki, tetapi peserta himpunan diminta untuk berada di sekitar Dataran Merdeka. Suasana tengahari itu sungguh aman. Keriuhan sekali-sekala terdengar apabila tiga buah helikopter berlegar-legar di atas kami. Apabila sampai masa yang ditetapkan barulah kedengaran sorakan secara beramai-ramai dan teratur mengikuti ketua kumpulan yang melaungkan kata-kata semangat. "Bersih bersih! Bersih rakyat! Bersih bersih! Pilihanraya!".
Bergambar sebelum berlepas ke lokasi. |
Berdoa memohon keampunan dan agar amalan diterima sebagai amal soleh. |
Doa diaminkan beramai-ramai. |
Di LRT Gombak. |
Posing di dalam LRT dengan vest Medical Team. |
Makan tengahari di restoran Indonesia di Central Market. Tiada rusuhan. Restoran dan kedai yang buka hari ini pasti untung berlipat kali ganda. |
Kira-kira pukul 1.40 petang, kumpulan dari Central Market mula bergerak. |
Aku dan Base Team Kumpulan 1 berjalan di belakang sekali. |
Seorang peserta berbangsa Cina tercedera kerana terlanggar bonggol simen. Dikhuatiri patang tulang kering, kami terpaksa memanggil ambulan. |
Kaki mangsa dibelat (splint) menggunakan suratkhabar sementara menunggu ambulan tiba. |
Ambulan tiba dan mangsa dibawa ke hospital. |
Sehingga kira-kira pukul 3.20 pm aku menerima sms dari bahagian Headquarters Medical Team yang gas pemedih mata pertama telah dilepaskan. Kami berjaga-jaga. Kumpulan hadapan yang menjaga VIP begitu jauh kedudukannya kerana manusia terlalu ramai. Kumpulan tengah juga agak jauh. Aku berdoa semoga mereka dapat bergerak dengan tenang jika terjadi hal-hal yang tidak diingini.
Kira-kira pukul 3.30 petang, hal yang tidak diingini berlaku. Gas-gas pemedih mulai terhidu. Peserta mula bertempiaran lari menyelamatkan diri. Akhirnya gas itu berada di sekitar kami. Bagi yang baru pertama kali terhidu gas ini memang panik kerana pedihnya luar biasa. Ia disusuli oleh kesukaran untuk bernafas. Mereka pasti akan berlari mencari tempat perlindungan. Termasuklah ahli-ahli kumpulan kami yang seramai kira-kira 15 orang itu. Kami terpecah. Suasana menjadi panik kerana di hadapan polis FRU dan di belakang kami asap yang sangat pedih.
Ramai yang cedera dalam keadaan seperti itu. Ada yang cedera kerana perlanggaran, ada yang sesak nafas, ada yang pengsan dan sebagainya. Kami gagal memberikan bantuan kerana kami sendiri terpaksa menghindar untuk menyelamatkan diri sendiri. Malah ketika kami terkena gas itu, seorang mangsa sedang diusung kerana dipercayai lelah dan sakit kaki, telah terpaksa ditinggalkan. Anda bayangkan!
Aku yang berada di tengah-tengah mereka malah bertugas untuk membantu mereka dapat membuat kesimpulan bahawa himpunan Bersih 3.0 itu menjadi huru-hara kerana peserta melarikan diri dari gas beracun itu. Mereka bukan lari kerana berniat untuk melakukan rusuhan. Sebahagian dari mereka pula hanya bertindakbalas kepada polis kerana perasaan marah. Malah di hadapan mataku sendiri melihat dengan jelas mereka tidak memukul polis yang berada berhampiran mereka, tetapi mereka hanya bersorak dan membaling botol mineral kepada trak FRU sahaja.
Oleh itu kawan-kawanku termasuk yang di dalam UMNO sendiri, kalian bukalah mata. Janganlah pemimpin kalian selalu memperbodohkan kalian dan kalian terus tidak menggunakan pancaindera termasuk akal fikiran kalian untuk menilai dengan waras. Kelak kalian akan menerima balasan sama seperti pemimpin kalian yang zalim itu di dalam neraka. Ayuh saudara-saudaraku... masanya untuk berubah. Ubahlah demi Malaysia yang lebih aman dan makmur. Anda mampu mengubahnya.
No comments:
Post a Comment