Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan Yang Ku Rindu

(Ibnul Munzir)

Seperti seorang kekasih yang kerinduan, doa ini selalu kita panjatkan:

"Allahumma barik lana fi Rajab, wa fi Sya'ban wa ballighna Ramadan."
(Ya Allah! Berilah keberkatan kepada kami pada bulan Rajab dan Syaaban. Dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan)

Jika tidak kasih, masakan kita berdoa dengan doa yang cukup spesifik. Setelah kesekian kalinya kita mengulang-ulang doa ini dalam bulan Rejab dan Syaaban, mudah-mudahan Allah akan memakbulkan doa kita itu dengan menyampaikan kita kepada Ramadhan.

Kini Ramadhan sudah menghampiri di ambang pintu, bagaimanakah persiapan kita untuk Ramadhan tahun ini? Tahun lepas kita menyesal kerana kita tidak cukup bertadarus. Tahu lepas kita menyesal kerana kita tidak cukup berterawih. Tahun lepas kita menyesal kerana selalu terlepas mengerjakan solat sunat qabliyah (sunat ba'diyah ramai yang tak terlepas). Tahun lepas kita terlepas untuk qiamullail pada malam Lailatulqadar. Ya... pendeknya kita menyesal kerana kita masih mengabaikan masa dan kesempatan itu. Tahun ini, sudah tentu kita tidak akan melepaskan peluang itu lagi jika diberi kesempatan bertemu Ramadhan.

Alhamdulillah, 2 jam lagi Ramadhan 1431H akan menjelma. "Ya Allah... bantulah aku dalam mengingati-Mu, dan bersyukur atas nikmat-Mu dan perbaiki amalanku kepada-Mu... Amiin".

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...