Thursday, November 12, 2009

Kuasai Politik Persepsi kerana ia boleh menghancurkan PR

(Ibnul Munzir)

Tangani Politik Persepsi

Hari ini seluruh Malaysia sibuk memperkatakan soal politik persepsi. Ia sememangnya mampu menentukan kemenangan pilihanraya. Iaitu kemenangan dalam pilihanraya berdasarkan apa yang orang rasa pada sesuatu parti politik, bukan berdasarkan maklumat atau apa yang sebenarnya ada pada parti politik tersebut. Kalau mereka rasa UMNO itu baik dan menjaga nasib orang Melayu, maka mereka akan undi UMNO. Jika mereka rasa PAS lebih baik dari UMNO, maka mereka akan mengundi PAS. Padahal ia hanya berdasarkan rasa. Rasa ini pula kebanyakannya hanyalah pengaruh daripada media dan mood persekitaran. Ini merupakan satu masalah besar sebenarnya kerana persepsi ini bergantung kepada maklumat yang diterima dan disogokkan. UMNO menguasai media perdana yang menjadi sajian seluruh rakyat Malaysia setiap hari. Ini memberikan mereka kelebihan dalam mewujudkan persepsi di kalangan rakyat untuk memburuk-burukkan dan memfitnah pembangkang (baca PR). Sedangkan PR hanya mempunyai media massa yang sangat terbatas.

Perkara ini menjadi satu cabaran besar kepada PR untuk menangani propaganda (persepsi) negatif yang dimainkan oleh kerajaan UMNO-BN. Hari ini antara masalah besar rakyat Malaysia (terutama Melayu di kampung-kampung) ialah mereka tidak sensitif terhadap berbagai isu yang berlaku akibat malas membaca dan meneliti. Barangkali kerana kekangan hidup menyebabkan mereka tidak berfikir untuk perkara lain selain berfikir bagaimana untuk meneruskan kesinambungan hidup... Cari makan. Mereka tak kisah masalah korupsi, segala macam jenayah kolar putih, penyelewengan dan seribu satu macam penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO-BN terhadap rakyat selama ini dan ketika ini. Apa yang mereka fikirkan ialah bagaimana untuk mendapatkan sesuap rezeki. Masa yang terluang pula, mereka tengok TV dan baca akhbar. Jika perkara ini berterusan, maka sampai bila-bilapun persepsi mereka terhadap usaha untuk menubuhkan kerajaan baru yang lebih adil dan berkebajikan oleh PR untuk Malaysia akan menemui kegagalan. Bagi mereka; "Untuk apa susah-susah? Kita dah boleh sembahyang, puasa, kerjakan haji cukuplah. Api dan air ada. Jalanraya pun ok. Anak-anak nak ke sekolahpun senang. Cukuplah tu. Sama saja undi siapa-siapapun. Kita kat kampung ni macam ni jugak!" Inilah sikap universal orang-orang Melayu di kampung-kampung dan tahap mentaliti mereka. Mampukah PR mendidik mereka untuk keluar dari kandang pemikiran itu? Ini satu cabaran yang besar.

Bagi saya (yang pernah hidup dan membesar di kampung yang berfikiran UMNO pekat, kemudian merantau dan merasai hidup di dalam masyarakat bandar yang berfikiran lebih terbuka dan seterusnya di dalam masyarakat profesional yang berfikiran kritikal), pertama yang perlu diusahakan ialah agar menjauhkan masyarakat dengan alat propaganda UMNO-BN. Caranya ialah dengan melancarkan boikot akhbar dan media. Apabila PR melancarkan kempen boikot, ia akan menyedarkan masyarakat umpama menyedarkan mereka yang sedang tidur lena. Sekurang-kurangnya mereka akan bertanya, "Apa yang berlaku?". Mereka akan mula membuka mata dan mendengar penerangan apabila menerima kejutan seperti ini. Pembangkang (terutamanya PAS) telah banyak melakukan siri-siri boikot dan hasilnya cukup memberangsangkan. Kali ini, boikot perlu dilakukan secara berterusan sehingga PRU-13!

Islam mampu menguasai politik persepsi

Selain boikot yang merupakan usaha pantas dan jangkapendek, usaha menerangkan hakikat perjuangan politik Islam yang ditunjangi oleh iman kepada Allah dan balasan hari akhirat adalah sangat penting. Hari ini rata-rata mereka yang tidak faham dengan hakikat perjuangan politik Islam ini menganggap bahawa perjuangan PAS adalah untuk kuasa semata-mata. Kuasa yang boleh saja disalahguna pada bila-bila masa. Sama seperti UMNO. Bagaimana jika PAS tidak menunaikan janjinya? Siapa yang boleh memastikan PAS bersikap lebih adil daripada UMNO? Bagaimana kalau pemimpin PAS juga bersikap sebagaimana para pemimpin UMNO? Bukankah semua kerja dan penat-lelah menukar kerajaan hanya akan sia-sia?

Inilah titik kekeliruan dalam membezakan perjuangan politik Islam samada ia didokong oleh parti yang bernama PAS, atau Refah (Turki) atau Hamas (Palestin) atau FIS (Algeria) atau Ikhwanul Muslimin (Mesir) atau sesiapa saja. Kekeliruan ini sudah tentu merupakan satu halangan besar kepada PR untuk meraih undi mereka. Kekeliruan ini hanya akan dapat diatasi dengan ilmu dan keyakinan bahawa PAS merupakan parti yang didasari dengan Islam yang sudah tentu akan membawa keadilan. PAS yang dipimpin secara kolektif oleh mereka yang menjiwai Islam pastinya melakukan kerja-kerja hanya untuk Islam dengan mengharapkan janji Allah di akhirat. Rakyat yang membantu untuk kemenangan Islam juga akan mendapat ganjaran sebagimana janji-janji Allah di akhirat nanti. Semua ini bagi masyarakat kampung dan mereka yang berfikiran seperti itu meskipun duduk di bandar mahu melihat dengan bukti-bukti. Ya! Sebagaimana di zaman Rasulullah SAW perlukan mukjizat, mereka juga perlukan bukti akan kebaikan dan perbezaan politik Islam dan PAS. Selain bukti-bukti keadilan Islam memerintah, perlu juga bukti-bukti kezaliman UMNO dan sistem sekular yang memerintah. Perkembangan semasa yang tidak dilapor oleh media massa perlu sampai kepada mereka. Bagaimana caranya untuk menjadikan rakyat lebih cakna, ia perlu diberi tumpuan yang serius.

Sebarkan maklumat dan masyarakatkan PR

Semasa saya hidup dalam masyarakat kampung, UMNO berjaya memasyarakatkan dirinya dengan berbagai-bagai kerja dan sumbangan kebajikan. Contohnya sumbangan generator bagi kawasan yang tidak ada bekalan elektrik, khemah dan kanopi percuma untuk majlis perkahwinan, bantuan menguruskan jenazah secara percuma, menyebarkan maklumat terkini melalui majlis tahlil setiap malam Jumaat, gotong-royong yang dikendalikan oleh Pemuda UMNO terhadap apa saja masalah, seperti membaiki rumah penduduk yang bocor, membaiki jambatan yang rosak, menebas kawasan semak sekeliling kampung dan sebagainya. Apa yang jelas, mereka menonjolkan semuanya sebagai UMNO. Saya yang tidak faham apa-apa ketika itu menganggap bahawa UMNO ini nama kepada JK Kampung! Ertinya, jika tidak sokong UMNO seolah-olah mereka memisahkan diri dengan masyarakat kampung. Sebab itu orang tua-tua di kampung-kampung sanggup mati demi UMNO!

Dalam usaha memberi pendidikan dan maklumat untuk menghasilkan rakyat yang celik maklumat dan cakna politik ini, PR perlu memikirkan untuk menembus masuk ke dalam tradisi kehidupan mereka dan mempelbagaikan cara penyebaran maklumat. Penggunaan alat multimedia seperti CD adalah suatu cara yang baik dan berkesan selain meneruskan tradisi lama seperti pamplet, sesi penerangan dan kuliah. Apa yang penting adalah isinya perlu 'menerang' bukan 'menyerang'. Dari sini PR dapat membuktikan bahawa negeri yang ditadbir di bawah PR adalah jauh lebih baik dari UMNO-BN dan rakyat lebih senang dan selesa dengan pentadbiran 5 negeri di bawah PR. Pemimpin PR tidak pentingkan diri dan kroni malah cakna rakyat. Pemimpin PR dilihat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakyat. Pemimpin PR adalah orang-orang yang berjiwa rakyat dan lebih mengutamakan rakyat. Pemimpin PR adalah mereka yang beriman dan tidak terlibat dengan rasuah. Pemimpin PR mudah didekati dan sentiasa berkhidmat. PR juga membawa pembangunan yang dinikmati oleh seluruh rakyat malah jauh lebih baik dari apa yang dilakukan oleh UMNO-BN. Ini semua perlu diberitahu kepada rakyat. Rakyat mahu tengok semua itu sebagai bukti.

Keimanan yang dijiwai oleh para jentera PAS terhadap kerja-kerja amal sebagai ibadat membolehkan semua kerja-kerja ini dilakukan dengan kos yang minima. Rata-rata ahli PAS sanggup berjihad dengan harta. Rata-rata ahli PAS juga sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi Islam, jadi ia memudahkan lagi usaha untuk visi melahirkan masyarakat yang celik maklumat dan cakna politik ini.

Apabila PR mampu menyebarkan maklumat-maklumat ini ke dalam masyarakat, persepsi mereka terhadap PR akan berubah. Semasa kempen pilihanraya, usaha-usaha yang telah dilakukan ini hanya perlu digandakan sahaja.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...