(Ibnul Munzir)
Beberapa hari menyepi bukan kerana merajuk, tetapi kesibukan hingga tak sempat melihat berita-berita terkini di alam siber ini. Selepas solat subuh yang biasa digunakan untuk melihat-lihat perkembangan mutakhir, terpaksa digunakan untuk melihat email dan menjawab email.
Terfikir di kepala bagaimana agaknya kehidupan pemimpin-pemimpin jemaahku yang hidupnya penuh dengan aktiviti di seluruh negara malah kadangkala terpaksa terbang ke luar negara. Setiap hari menyampaikan ceramah, kuliah dan nasihat, malah setiap saat hidupnya dipenuhi dengan kerja-kerja jihad untuk agama Allah. Bagaimana mereka mengagihkan masa. Berapa jamkah mereka tidur dan banyak lagi persoalan-persoalan yang hanya mereka sahaja yang mampu menjawabnya... Subhanallah... sedikitnya sumbangan diri ini untuk Islam bernbanding dengan mereka. Mudah-mudahan hati ini ikhlas dalam beramal dan Allah menerima amalan diri ini yang sedikit.
Hari ini terjawablah sudah berbagai teka-teki berkenaan Kerajaan Perpaduan yang digunakan oleh UMNO untuk menghancurkan PR. Namun, pemimpin kita bukan bodoh. Meskipun kelihatan sedikit bermain tarik tali, tapi sebagaimana yang kita semua tahu, politik mempunyai seninya yang tersendiri. Bodohlah pemimpin kalau tidak dapat menilai kawan dan musuh. Bodohlah pemimpin kalau tidak menggunakan sejarah sebagai panduan dalam menggerakkan strategi. Bodohlah pemimpin Islam kalau tidak menggunakan neraca Islam sebagai kayu-ukur dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan.
Ternyata pemimpin PAS dan PR bukan bukan dari jenis seperti itu. Bermula dari awal penubuhan, dari latarbelakang peneraju kepimpinan, mereka bukan orang yang gilakan wang dan kedudukan. Kalau mereka mahukan itu semua, mereka akan lari dari awal lagi. Apatah lagi para pemimpin PAS yang penuh dengan tarbiyah. Apalah ada pada jutaan wang ringgit kalau dinilai dengan nikmat syurga di akhirat... Itulah keyakinan... Itulah iman yang tidak ada pada mereka yang tidak beriman.
Berikut, saya 'paste'kan kenyataan media para pemimpin PR yang bermesyuarat siang tadi:
Tarikh: 22 Jun 2009
KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT
Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:
1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.
2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.
3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.
Dibawah ini pula kenyataan TGNA yang ditarik balik oleh beliau yang dianggap kenyataan paling keras sejak krisis ini berlarutan. Semua ini merupakan tamparan hebat kepada UMNO yang barangkali termimpi-mimpi untuk mendapatkan 'nyawa' kembali setelah nyawanya berada di'halkum' menunggu masa untuk dikebumikan. Berikut adalah berita dari Malaysiakini:
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.
Nik Abdul Aziz yang juga menteri besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.
Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:
"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.
"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.
"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.
"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."
Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.
No comments:
Post a Comment